1 Bahasa, 1 Semangat Jati Diri Kebangsaan
Saya petik:
[BH] Pemilihan hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu difahami lagi dihayati dalam konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971). Begitu juga dengan pemupukan serta pelestarian jati diri, taraf dan citranya dalam semua bidang. Sehubungan ini, ia perlu juga dilihat dari dimensi muhibah ekoran daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama.
Namun, penggunaannya yang sejati dalam kuantiti banyak serta kualiti yang baik pada setiap masa oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam semua kegiatan budaya tinggi adalah jauh lebih penting daripada perlindungan perundangan itu. Ini adalah untuk menjamin kelangsungannya, bukan saja dalam bentuk yang perkasa, tetapi juga sebagai bahasa bermaruah tinggi.
Sebetulnya semua ini memerlukan iltizam setiap rakyat. Setiap satu daripada kita perlu memupuk kecekapan berbahasa Melayu, di samping kesetiaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu dalam jiwa pada setiap masa. Ini bertujuan antaranya untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sentiasa teguh, sejajar statusnya sebagai bahasa negara.
Pemilihan dan lebih penting lagi penggunaan hanya 1 bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk negara ini tidak dapat dinafikan, khususnya dalam menyatupadukan rakyatnya yang pelbagai kaum, boleh membentuk satu jati diri nasional yang sama. Ia juga mampu memupuk 1 semangat kebangsaan yang sama, untuk dipamerkan setiap rakyat sebagai 1 Bangsa Malaysia yang bersatu padu, selain sebagai 1 Negara Malaysia yang bersekutu. Ini bertepatan sekali dengan idea perpaduan dalam Gagasan 1 Malaysia, selain moto negara, iaitu Bersekutu Bertambah Mutu.
Dalam hal ini, satu isomorfi, iaitu hubungan kerakyatan dengan penggunaan bahasa negara perlu wujud. Selain kumpulan etnik Melayu/Bumiputera, rakyat Malaysia lain yang berasal daripada pelbagai latar budaya dan menggunakan bahasa etnik masing-masing perlu memperlihatkan hubungan lebih erat antara kerakyatan dengan bahasa Melayu. Dengan kata lain, kesetiaan sebagai rakyat Malaysia perlu juga diperlihatkan melalui penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang bukan asal selain perlu mementingkan, harus menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa utama di negara ini pada setiap masa, dalam kadar yang banyak selain bentuk yang bermutu. Penggunaan begini bukan saja untuk komunikasi rasmi, iaitu dalam majlis rasmi/formal yang dituntut oleh perundangan, tetapi juga untuk tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri.
Isomorfi begini adalah satu fenomena yang bukan saja lumrah di seluruh dunia, tetapi mantap di beberapa negara. Antaranya Indonesia di rantau ini. Hal sama berlaku di Thailand. Malangnya, ia tidak di Malaysia.
Isomorfi antara kerakyatan Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak, selain dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam aspek kehidupan nasional, adalah sesuatu yang belum wujud secara utuh di negara ini. Sebaliknya ia dalam keadaan masih tidak memuaskan.
Sehubungan ini, rakyat Malaysia daripada semua kelompok etnik, khususnya yang bukan asal perlu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, mereka perlu menganggap bahasa Melayu lebih daripada sebuah lingua franca. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dilihat lebih daripada hanya digunakan secara rutin dan selalunya dalam bentuk jelik pula. Ia tidak boleh hanya digunakan semata-mata dalam kegiatan budaya rendah, seperti urusan jual beli di pasar saja. Ia perlu disanjungi lebih daripada itu. Bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan saja “jiwa kepada Bangsa Malaysia”, dalam konteks pengertian ungkapan “bahasa jiwa bangsa”, tetapi sebetulnya adalah maruah negara dan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, khususnya dalam pengertian isomorfi yang diperkata itu, martabat serta kehormatan dan reputasi bahasa Melayu meliputi, antara penggunaannya yang baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi dalam mandala rasmi/formal.
Taraf bahasa Melayu juga hendaklah selalu berada pada kedudukan teratas, yakni mengatasi mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa etnik. Meletakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara di bawah, misalnya bahasa etnik tertentu, adalah satu tindakan yang bukan saja menghina bahasa Melayu, tetapi ikut mengeji negara dan rakyat. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah simbol nasional, iaitu lambang keagungan negara yang berdaulat dan kemuliaan rakyatnya yang berwibawa, khususnya penduduk etnik Melayu yang menjadi penutur natif kepada bahasa Melayu.
Isomorfi ini juga perlu dikaitkan dengan satu jati diri nasional sama, yakni untuk kedua-dua negara dan rakyat, yang disalurkan melalui satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara. Jati diri negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, melalui bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, sebetulnya tidak menjadi masalah lagi, kepada sesiapa pun selaku rakyat Malaysia yang setia, lebih-lebih lagi selepas negara ini mencapai kemerdekaannya 53 tahun yang lalu.
Dalam konteks ini, isomorfi ini jati diri negara dan rakyat menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu bertitik tolak daripada penggunaan yang banyak selain baik dan betul, khususnya dalam mandala rasmi/formal oleh semua rakyat pada setiap masa.
Bagi bukan Melayu, jati diri nasional sama serta semangat kebangsaan yang juga sama ini, melalui bahasa Melayu selaku bahasa Melayu perlu bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, khususnya ketika bertutur dalam bahasa Melayu pada setiap masa.
Citra negara dan rakyat Malaysia, yakni gambaran yang ingin ditonjolkan mengenai Malaysia sebagai satu entiti politik, sosial dan budaya, khususnya kepada masyarakat luar, adalah juga melalui bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang kurang dan tidak baik pula dengan segala macam kesalahan dalamnya, adalah contoh yang boleh merosakkan imej negara dan rakyat. Begitu juga dengan bahasa rojak, yakni percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris misalnya dan segala macam lain yang negatif.
Imej positif bahasa Melayu antaranya perlu dibina dan dipupuk melalui penggunaannya sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan nasional. Ini perlu dilakukan melalui sekolah satu aliran saja, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam semua bidang ilmu/pengetahuan lebih-lebih sains dan teknologi.
Bahasa negara adalah sebahagian yang penting dalam mana-mana kerakyatan. Sehubungan itu, bahasa Melayu adalah komponen penting dalam kerakyatan Malaysia. Justeru, adalah amat malangnya sekali untuk negara ini jika masih ada dalam kalangan kita, walaupun seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu. Di manakah kesetiaan mereka ini kepada negara dalam konteks isomorfi yang diperkata itu? - Teo Kok Seong
* Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM
P/s: Berapa banyak orang bukan Melayu di Malaysia ini berfikiran seperti Prof Dr Teo Kok Seong?
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.