[HM] Seremban: “Saya akui jahil dan banyak dosa, tapi akidah saya masih utuh dan sama sekali tidak akan menyerahkan anak kepada pasangan bukan Islam, biarpun ada yang menawarkan RM30,000.”
Demikian kata seorang wanita mualaf mahu dikenali sebagai Rokiah, 30-an yang kini hidup terumbang-ambing dan serba kekurangan selepas diceraikan bekas suami, awal bulan lalu. Keadaan diburukkan lagi apabila janda beranak satu itu kini hamil anak luar nikah dan teman lelakinya pula enggan bertanggungjawab, malah memintanya menggugurkan kandungan.
“Melihat kehidupan saya yang serba daif empat pasangan bukan Islam pernah menyuarakan hasrat mahu memelihara anak saya.
“Ada yang mahu mengambil Amin (anak lelaki berusia dua tahun) dan ada juga yang mahukan anak dalam kandungan saya yang kini berusia empat bulan.
“Walaupun saya mualaf dan banyak dibebani dosa silam, saya tetap akan berusaha menjaga anak saya dan tak mahu mereka keluar daripada Islam,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Rokiah berkata, dia kini tidak mempunyai pekerjaan dan hidup menumpang di rumah kakak dan abang iparnya yang bukan beragama Islam bersama tiga anak mereka di Senawang, dekat sini.
“Biarpun ditawarkan puluhan ribu ringgit, saya tidak rela berpisah dengan Amin. Hidup mati saya biarlah dengan Amin dan anak yang masih dalam kandungan. Saya tidak akan menjual mereka,” katanya.
Mengimbas kisah hidupnya, Rokiah berkata, selepas diceraikan, dia terpaksa menanggung seorang anak kembarnya, manakala seorang lagi bersama bekas suami yang juga askar di Perak.
Menurutnya yang berasal dari Sarawak dan memeluk Islam pada 2009, selepas bercerai dia menjalinkan hubungan dengan seorang anggota keselamatan di negeri itu hingga terlanjur.
“Saya amat menyesal kerana terlanjur dan ia berlaku kerana selepas bercerai saya hilang arah, tiada pendapatan serta terlalu bergantung harap dengan teman lelaki yang saya kenali Mac lalu,” katanya.
Rokiah berkata, sebelum ini dia tinggal di Gerik, Perak bersama bekas suami dan pernah bercerai kali pertama pada tahun lalu sebelum rujuk semula.
“Biarpun rujuk semula, kami tidak tinggal bersama kerana masih tiada persefahaman dan saya terpaksa menumpang di rumah kakak di Senawang.
“Ketika masih belum diceraikan kali kedua, saya berkenalan dengan teman lelaki dan terlanjur hingga hamil, tapi teman lelaki saya enggan bertanggungjawab, malah meminta saya menggugurkan kandungan.
“Bagaimanapun, saya tidak tergamak menggugurkan kandungan saya. Bayi yang saya kandung ini tidak berdosa dan saya tak mahu terus melakukan dosa. Saya mahu teman lelaki bertanggungjawab ke atas kandungan ini,” katanya.
Menurut Rokiah, fikirannya kini bercelaru dan tidak tahu hendak berkongsi masalah dengan sesiapa melainkan kakak dan abang iparnya yang bukan Islam.
“Kini, saya tidak bekerja dan terpaksa menyara Amin yang masih kecil selain hanya mampu memberinya susu pekat manis.
“Malah, setiap kali ke klinik kesihatan memeriksa kandungan, saya malu kerana jururawat kerap bertanya nama bapa bayi yang saya kandung,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Lebih memilukan, kata Rokiah, ketika Aidilfitri semakin hampir, tiada apapun persiapan dibuat buat dirinya dan anak berikutan tidak mampu.
“Saya kini menumpang di rumah kakak yang mempunyai tanggungan lain selain isi rumah di sini semua tidak bekerja,” katanya sambil memberitahu tidak pernah membuat aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung masalah dihadapinya.
Sementara itu, Pengarah JHEAINS Datuk Johani Hassan meminta mualaf terbabit segera membuat laporan.
“JHEAINS mempunyai unit saudara baru untuk membantu mualaf yang memerlukan maklumat dan bantuan.
“Jika dia (Rokiah) tidak membuat laporan, macam mana kita mahu hulurkan sumbangan dan membantunya,” katanya.
Johani berkata, mana-mana saudara baru yang mempunyai masalah juga digalakkan merujuk kepada JHEAINS atau berkunjung ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, supaya boleh diberikan bantuan sewajarnya.
P/s: Harap-harap pihak berkaitan cepat bertindak. Jangan simpan duit berkepuk-kepuk atau membelanjakan pada perkara yang tidak perlu sedangkan duit tersebut untuk orang yang memerlukan. Selain bantuan kewangan, mualaf ini perlu diberi panduan hidup agar kekal dalam agama suci ini.