[Kemas Kini] Zaid Sudah Berkerat Rotan, Berpatah Arang dengan PKR
Daripada satu sudut, Zaid bukan merajuk lagi. Kali ini sahlah Zaid sudah "berkerat rotan", sudah "berpatah arang" dengan PKR dan Anwar Ibrahim. Daripada sudur lain, orang mempersoal, mengapa keluar PKR hanya kerana marahkan Anwar dan Azmin? Adakah kerana penyamarannya sebagai "kuda trojan" sudah tidak mampu dilindunginya lagi? Sudut mana yang benar, hanya mereka yang tahu!
Mengapa 16 Disember? Di Facebook ada yang memberi pendapat seolah-olah wujud tawar-menawar antara Zaid dengan PKR. Tidak kurang juga yang menyindir bahawa berhenti PKR juga seperti berhenti kerja, perlu ada notis sebulan. Namun, Zaid dalam kenyataan medianya dengan jelas mahu menyindir kegagalan projek 16 September Anwar!
Walaupun sudah banyak orang menulis bahawa Zaid ialah kuda trojan dan sore loser, namun saya belum berani mengatakan hal itu secara terang-terang walaupun tindakannya sudah menjurus ke situ. Tunggu dan lihat tindakan seterusnya. Tunggu juga kesudahan kes JPP PKR yang dikatakan tidak serius/lambat/enggan menangani permasalahan yang timbul dalam pemilihan parti itu.
Yang menariknya, sewaktu Zaid dipecat daripada UMCO kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang, juga semasa pemilihan parti, pemergiannya seolah-olah tidak memberikan impak terhadap parti itu (adakah ada udang di balik batu dalam kes pemecatannya?). Namun, apabila Zaid memprotes dan mengumum untuk keluar daripada PKR, impaknya agak besar, walaupun hal itu cuba dinafikan oleh PKR. Media UMCO mencanangkan hal itu secara agresif (adakah ada udang di balik batu?)
Mengapa terjadi begitu, walhal Zaid bukanlah ahli politik yang begitu berkarisma sehingga mampu menarik perhatian orang ramai? Beberapa orang sahabat saya memberikan pendapat bahawa aduan dan keluhan Zaid tentang pemilihan PKR, walaupun tidak (kurang) disertakan bukti, namun hal itu turut diakui dan mengecewakan sesetengah pemimpin PKR yang lain menjadi salah satu punca PKR sedikit bergoyang apabila berhadapan dengan isu ini. Kelemahan PKR menangani krisis pemilihan parti dan persepsi bahawa parti itu diselubungi politik naungan menjadi faktor Zaid memperoleh sokongan segelintir ahli parti itu.
Tanpa mengira niat sebenar Zaid, saya kira beliau mungkin memperoleh sokongan yang agak hebat jika dia tidak bertindak keterlaluan "membelasah" Anwar Ibrahim.
Pemergian Zaid mungkin gagal memberikan impak kepada PKR jika Pemilihan PKR yang sedang berlangsung ini dilihat orang telus dan bersih daripada pelbagai salah laku dan penyelewengan. Malah, pemergiannya mungkin tidak mendapat simpati orang jika dakwaan bahawa Anwar menjadi pengurus kempen Azmin itu dinafi dengan sekeras-kerasnya oleh PKR, begitu juga dakwaan bahawa pemilihan parti ini hanyalah syarat untuk mengesahkan jawatan orang tertentu untuk jawatan tertentu dalam parti dijawab dengan meyakinkan oleh pemimpin parti itu, ....bla...bla...bla...dll.
Saya petik:
KENYATAAN MEDIA
19 NOVEMBER 2010
Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti: Saifudin Nasution menuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru sebelum pun saya masuk bertanding; Syed Husin dan Azmin pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi. Sumbangan saya kepada parti selama ini pun dikatakan kecil sahaja. Mereka juga berkata bahawa saya ini pemalas, tidak setia dan tidak memahami maksud perjuangan parti. Anwar Ibrahim sendiri telah menggelar saya sebagai ‘Trojan Horse’ dan ‘Sore Loser’. Fitnah, putar-belit dan cerita-cerita rekaan ini telah memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya tidak rela bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti yang telah mereka lakukan terhadap diri saya.
Saya amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli-ahli parti kepada saya selama ini. Saya mungkin telah melakukan kesilapan semasa saya berada dalam parti tetapi saya tidak sekali-kali melakukannya di atas niat jahat untuk melemahkan parti atau untuk menjatuhkan sesiapa pun. Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam. Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu.
Sewaktu saya meletakkan jawatan sebagai Menteri dahulu, saya mahu menegakkan satu prinsip penting iaitu bahawa mana-mana menteri yang tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan mestilah meletakkan jawatannya, iaitu prinsip ‘Collective Responsibility’. Pada masa itu, saya tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap 3 orang awam. Kali ini pula, saya berhenti kerana adalah amat wajar untuk saya berbuat begitu apabila saya tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggap saya sebagai pengkhianat. Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.
Saya meletakkan kepercayaan saya kepada kebijaksanaan masyarakat untuk memahami bahawa kita mestilah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dasar yang ikhlas walau dalam situasi apa sekalipun kerana itulah sahaja yang akan menentukan erti perjuangan sebenar. Ramai peminat Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada saya bahawa karier politik saya akan hancur selepas ini. Kepada mereka, saya ingin menegaskan bahawa karier politik saya adalah satu perkara yang kecil sahaja; yang besar dan penting kepada kita semua ialah politik kotor dan penipuan mesti kita tentang walau dari pihak mana sekalipun ia datang; ia tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk bertapak di bumi bertuah ini.
ZAID IBRAHIM
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.