Nyonya Po Po Berjaya Besarkan Cucu Beragama Islam
MELAKA, 10 Mei (Bernama) -- Walaupun bukan beragama Islam, Tan Guan Neo @ Nyonya Po Po, 70, dari Taman Merdeka di sini sentiasa memastikan cucunya yang beragama Islam mendapat pendidikan agama yang mencukupi sejak kecil.
"Saya sendiri yang memandu untuk menghantarnya ke sekolah agama dan mengaji untuk memastikan dia benar-benar mendapat pendidikan agama yang sempurna.
"Saya juga memastikan dia menunaikan tanggungjawabnya yang lain termasuk menunaikan solat dan berpuasa," kata penerima Anugerah Ibu Cemerlang 2015 peringkat negeri Melaka ini.
Tan menerima anugerah itu daripada Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron pada majlis sambutan Hari Ibu peringkat negeri, Ahad.
Beliau dan suaminya yang meninggal tahun lepas mengambil tanggungjawab itu sejak cucunya Fahira Nabilah Isham berusia empat bulan setelah ibunya yang merupakan anak bongsu Tan, Fatin Nauha Lee tidak mampu membesarkannya kerana menghidap sakit mental.
Fahira Nabilah kini berusia 19 tahun.
"Bukan senang nak membesarkan cucu bagi memelihara akidahnya. Banyak cabarannya dan ramai yang mengganggu. Seorang tok sidang pernah datang ke rumah dan kata saya tidak layak menjaga cucu beragama Islam dan menyuruh saya menghantarnya ke rumah anak yatim.
"Tetapi saya membantah," katanya yang mempunyai 11 orang cucu beragama Islam.
Tan berkata dia kini boleh menarik nafas lega kerana telah berjaya membesarkan cucunya itu yang kini menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin.
Beliau mempunyai lima anak perempuan berusia antara 39 hingga 50 tahun yang dua anaknya iaitu Nur Hasleena Lee, 48, dan Faridah Nurul Ain, 50, menganut agama Islam.
Sementara itu Fahira Nabilah berkata neneknya itu membesarkannya dengan pendidikan Islam yang sempurna dan bersikap tegas sekiranya dia tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam.
"Saya diajar berpuasa sejak berusia lima tahun. Dia sendiri akan menyuap saya makan ketika sahur sehingga saya berusia 17 tahun dan merotan saya jika tidak menunaikan solat," katanya.
Dia kadang kala menghadapi kesukaran tentang sesuatu isu agama Islam tetapi merujuk kepada ustazah atau dua mak ciknya yang beragama Islam.
Dua lagi adik Fahira Nabilah tinggal bersama nenek sebelah bapanya Isham Mansol yang telah meninggal dunia.
Rokiah Alwi, 73, dan R. Kalliany, 59, turut menerima anugerah itu. -Bernama/10/5/15
P/s: Salut!!!
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.