JIKA 5 JUTA , BERAPA BANYAK YANG AKAN MAUT?
Belum lagi hilang rasa gerun dengan ranking negara dari segi jumlah kematian akibat selesema babi dalam kalangan negara di Asia dan dunia, kita kini dikejutkan pula dengan perangkaan yang dikeluarkan oleh WHO. Menurut badan kesihatan dunia itu, jika tiada langkah pencegahan yang serius dilakukan sebanyak 5 juta penduduk di negara ini mungkin dijangkiti virus selesema babi.
Persoalannya, jika 2 253 kes dengan 51 kematian, bayangkan jika 5 juta penduduk di negara ini dijangkiti penyakit maut itu. Berapa banyakkah nyawa yang akan terkorban? Ramalan WHO bahawa 5 000 hingga 28 000 penduduk di negara ini akan terkorban ada asasnya berdasarkan jumlah kematian setakat ini. Mengapakah jumlah kes yang besar di negara lain tidak diikuti jumlah kematian yang tinggi? Adakah kes-kes positif di negara-negara terbabit hanya melibatkan golongan yang "mampu" melawan virus ini? Adakah golongan tua, kanak-kanak, dan orang yang berisiko tinggi tidak dijangkiti penyakit ini di negara-negara tersebut? Atau kita sememangnya berhadapan dengan ketidakefisienan dan kelemahan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah ini.
Justeru, jika kerajaan benar-benar mahu menilai KPI menteri dan kementerian kerajaan, maka mulakanlah KPI tersebut dengan Menteri dan Kementerian Kesihatan. Setakat ini, tiada langkah yang benar-benar dapat mengawal penularan penyakit ini. Yang kedengaran hanyalah nasihat dan panduan yang diberikan oleh pihak tersebut. Mereka hanya mengharapkan "kesedaran" orang ramai. Walhal tindakan tersebut tidak memadai untuk menangani masalah ini. Agak malang juga apabila jumlah kematian yang terlalu tinggi di negara ini barulah pihak bertanggungjawab mahu melakukan beberapa perubahan dari segi prosedur dan peningkatan perkhidmatan di hospital-hospital di negara ini. Agak menyedihkan juga apabila membaca kisah-kisah/rungutan-rungutan orang yang pernah dijangkiti virus ini memerihalkan ketidakcekapan dan kekurangan dalam pelbagai segi pihak yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Jika ada pihak yang boleh mengedarkan KONDOM secara percuma, maka pihak-pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengedarkan TOPENG MUKA secara percuma bukan sahaja di institusi pendidikan, malahan di tempat-tempat awam. Jika kerajaan boleh berbelanja berjuta-juta untuk projek-projek yang kurang penting, membayar komisyen kapal selam, dan pelbagai macam lagi pembaziran, maka apalah sangat dengan membeli dan mengedarkan topeng muka secara besar-besaran.
[MSTAR] 16 Ogos- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.
"Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini semalam.
Katanya wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.
"Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan," katanya.
Liow berkata kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.
"Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang," katanya.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.