Saya salin dan tampal artikel di bawah ini dari Merdeka Review. Suatu analisis ringkas yang menarik. Bagi orang (saya tergolong dalam golongan ini) yang tidak mengikuti perkembangan politik MCA, artikel di bawah ini dapat memberikan maklumat tentang pergolakan yang berlaku dalam parti tersebut. Benarkah Ong Tee Keat bakal digulingkan? Benarkah sebuah parti baru untuk orang Cina bakal ditubuhkan? Benarkah ada campur tangan luar dalam pergolakan politik MCA seperti yang ditulis dalam artikel di bawah ini? Apakah kaitan isu derma RM10 juta dengan isu ini? Apakah kaitan isu ini dengan skandal PKFZ? Apa pula kaitan UMNO dalam isu ini? Di samping persoalan-persoalan tadi, isu benarkah Ong menerima RM10 juta dan jika beliau menerimanya, di manakah wang itu masih menjadi misteri. Lanjut sila baca artikel di bawah ini:
[MERDEKAREVIEW] Perbalahan antara Presiden MCA Ong Tee Keat (gambar kanan) dengan Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing semakin hangat bahangnya, apabila Ong dilaporkan mendakwa dirinya mungkin dipecat, atau ditukar pangkat pada bila-bila masa, kerana meneruskan siasatan terhadap penyelewengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Sin Chew Daily memetik kata-kata pemimpin yang turut hadir dalam taklimat tertutup semalam, melaporkan Ong mendakwa dirinya dimaklumkan bahawa beliau bukanlah Presiden MCA yang disukai UMNO. Malah, Ong mendedahkan bahawa wujudnya kuasa dalam dan luar parti, yang sanggup menggulingkan Ong dengan RM100 juta.
Menurut laporan Sin Chew Daily, berdasarkan maklumat risikan yang terkumpul, Ong memberitahu bahawa sebuah parti baru bakal ditubuhkan, untuk menggantikan MCA dalam Barisan Nasional. Ong dituduh gagal mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap BN, maka puak-puak tersebut kini "berkomplot" untuk menubuhkan parti baru untuk menggantikan MCA.
Tiong mula menjelma?
Perselisihan antara Ong Tee Keat dengan timbalannya, Chua Soi Lek bukan sesuatu yang baru. Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC) merangkap Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tiong King Sing pula masuk ke gelanggang, menambah tekanan terhadap Ong.
Sebelum ini, ketika ditemuramah beberapa media bahasa Cina, Ong Tee Keat berulang-kali menekankan bahawa dirinya menghadapi "serangan hendap" daripada musuh politik, malah diugut oleh kuasa kongsi gelap. Ong bagaimanapun enggan menamakan siapa sebenarnya dalang di sebalik "serangan hendap" yang dimaksudkan itu.
Minggu lalu, Tiong Sing King (gambar kiri) mendedahkan bahawa Ong pernah menggunakan perkhidmatan pesawat syarikatnya tanpa pembayaran melalui Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad, Faizal Abdullah. Kemudian, Tiong mencetuskan letupan dengan mengaku bahawa dirinya pernah menyerahkan RM10 juta kepada Presiden MCA itu.
Pada keesokannya, Ong menafikan tuduhan Tiong, membuat laporan polis dan memberi kata dua akan menyaman Tiong sekiranya tidak menarik balik tuduhan dalam tempoh tujuh hari. Malah, Ong memberi isyarat yang cukup jelas, mendakwa bahawa "salah satu dalang" di sebalik "serangan hendap" telah menjelma.
Bagi pihak Ong, Tiong cuba menghalang usahanya untuk mendedahkan skandal PKFZ. Maka, Tiong dianggap "bersubahat" dengan musuh politiknya dalam MCA, iaitu Chua Soi Lek untuk menggulingkannya. Malah, kedua-dua pihak ini disyaki mendapat restu daripada UMNO, menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "campur tangan kuasa luar" sebelum ini.
Ong terperangkap
Justeru itu, Ong Tee Keat cuba mengerah sokongan dalam MCA melalui taklimat tertutup semalam. Daripada 2,865 pemimpin bahagian yang diundang, hanya kira-kira 800 yang hadir, tidak melebihi dua pertiga. Walau bagaimanapun, "taklimat" ini berakhir dengan sokongan sebulat suara terhadap pimpinan Presiden MCA dan siasatan menyeluruh terhadap skandal PKFZ, tanpa kehadiran orang nombor dua dalam parti tersebut.
Agak awal untuk meramalkan sejauh manakah sokongan akar umbi terhadap Ong setakat ini. Namun, Ong ternyata terperangkap dalam mainan politik musuhnya, dan mungkin menjurus kepada panggilan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menggulingkannya.
Ong yang terkenal sebagai "Lone Ranger" selama ini meraih sokongan rakyat dengan "imej"nya yang lebih positif, dan bukannya sokongan dari akar umbi MCA. Secara sedar atau tidak, Ong melihat dirinya lebih "suci" daripada rakan seperjuangannya dalam MCA.
"Imej" merupakan senjata Ong ketika bertanding untuk jawatan presiden pada tahun 2008. Malah, persoalan utama yang diutarakan ketika itu berbunyi, "Sama ada MCA
mampu diselamatkan semata-mata dengan imej baik presidennya?"
Kelebihan kini jadi kelemahan
Jawapannya mula menjelma. Ong kini berdepan dengan risikonya, setelah memancing undi dengan "imej" individu. Pengundi yang menaruh harapan tinggi terhadap Ong, menggunakan kayu ukur yang lebih ketat untuk menilai Ong. Maka apabila Faizal Abdullah (gambar kiri) mendedahkan bahawa Ong tidak membayar untuk perkhidmatan pesawat syarikatnya, imej Ong mula tercalar.
Penyokong Ong mungkin bertanggapan bahawa fokus media perlu ditumpukan kepada bagaimana Ong sebagai Menteri Pengangkutan, mengambil langkah berani untuk mendedahkan skandal terbesar negara, sebagai usaha untuk membanteras rasuah dalam BN; dan bukannya dialihkan pandangan kepada berapa kali perkhidmatan pesawat tersebut digunakan.
Namun, Ong diasak dalam isu ini kerana "kesucian" yang ditegaskannya selama ini. Malah, jawapannya tidak cukup meyakinkan. Pada 12 Ogos, setiausaha politiknya Lim Seng Chai menafikan tuduhan dengan alasan bahawa "pejabat kementeriaannya" belum menerima sebarang invois daripada Wijaya Baru Global Berhad.
Setelah dipertikaikan sama ada perkhidmatan tersebut wajar ditanggung Kementerian Pengangkutan, barulah Lim Seng Chai menjelaskan bahawa Ong akan membayar perkhidmatan pesawat tersebut melalui akaun peribadi, seandainya harga yang dikenakan itu berpatutan.
Mana perginya wang?
Kontradiksi wujud dalam kenyataan sebelum dan selepasnya. Tekanan memuncak apabila Tiong mendakwa dirinya menyerahkan RM10 juta kepada Ong Tee Keat sebagai derma untuk tabung aktiviti bahagian MCA. Walaupun "derma" sedemikian dilihat sebagai perkara "lumrah" dalam politik, namun tuduhan ini mencetuskan kesangsian pemimpin peringkat bahagian MCA terhadap pimpinan Ong.
Bendahari Agung MCA, Tee Hong Seng
menafikan bahawa MCA pernah menerima "derma" daripada Tiong. Dengan kata lain, antara Tiong dengan Ong, salah seorang daripadanya berbohong dalam isu ini. Seandainya apa yang dikatakan Tiong itu benar, ahli MCA akan mempersoalkan presidennya,
ke mana wang itu pergi?
Tiong mendakwa wang tunai sebanyak RM10 juta ini diserahkan kepada Ong, malah saksinya boleh tampil ke depan untuk membuktikan kenyataannya pada bila-bila masa. Api menular apabila rakan seperjuangan Ong, Ketua Wanita MCA Chew Mei Fun mengakui bahawa dirinya pernah menerima derma Tiong. Api merebak kepada Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong yang dilemparkan tuduhan yang sama.
Imej semakin tercalar
Seandainya Tiong berjaya membuktikan bahawa tuduhannya terhadap Ong bukan fitnah, maka Presiden MCA ini terpaksa berdepan dengan krisis kredibiliti dan integriti. Maka, EGM mungkin dipanggil untuk menguji sejauh manakah Presiden yang belum genap setahun menerajui MCA ini mendapat kepercayaan perwakilannya.
Ong tidak mempunyai banyak pilihan. Beliau perlu membuktikan bahawa dirinya "bersih" daripada sebarang bentuk "rasuah". Kelebihannya bersandarkan "kesucian imej"nya. "Nilai politiknya" tetap ada seandainya beliau "disingkirkan" dari BN kerana keberanian mendedahkan rasuah.
Namun demikian, sekiranya imej beliau semakin hari semakin tercalar dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan, malah gagal membuktikan dirinya "tidak bersalah", maka kemungkinan besar hayat politiknya akan menghembuskan nafas terakhir dalam lumpur PKFZ.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, Edisi Bahasa Melayu.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.