MARAHKAN KUIL, HINA AGAMA ORANG!
Siapa dalang di balik kejadian yang tidak sepatutnya berlaku ini? Apakah motif mereka mengarak kepala lembu?
Tindakan pihak NGO dan beberapa kerat penduduk mengarak "kepala lembu" ini bukan sahaja menghina agama orang lain, malah boleh mencetuskan ketidakpuasan hati kaum lain. Hal ini sangat-sangat berbahaya dan perlu dibendung sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.
Yang peliknya, perlulkah membawa kepala lembu yang dianggap suci oleh orang yang beragama hindu? Bolehkah penduduk yang beragama Islam menerima jika penganut Hindu menghina salah satu perkara yang dianggap suci oleh agama Islam?
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit kerana bersikap tidak bertanggungjawab dan bersifat provokasi. Jika benar tidak bersetuju, apalah salahnya menggunakan pendekatan yang tidak memudaratkan keharmonian negara. Jika mahu berdemo, berdemolah, jika mahu berbincang-berbincanglah. Islam pun tidak pernah mengajar umatnya biadap dan melakukan provokasi terhadap orang lain.
Persoalannya, adakah tindakan tersebut kerana marahkan pembinaan kuil atau ada maksud lain? Jika ada maksud lain, hal ini perlu diberi perhatian sebelum menjadi lebih serius! Lanjut seperti yang diberitakan di bawah:
[MALAYSIA KINI] Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.
Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, kira-kira 1 km dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat tadi.
Mereka berarak sebagai membantah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.
Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Dihubungi Malaysiakini sebelum perhimpunan tersebut, setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau difahamkan kepala lembu itu sebagai simbol "pemimpin yang dicucuk hidung".
Bagaimanapun, tegasnya, membawa kepala lembu itu bukan inisiatif pihaknya.
Kelmarin, Dr Xavier dilaporkan meminta penduduk seksyen itu menimbang semula bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan memindahkan kuil ke kawasan itu.
Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri bercadang memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau.
Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut.
Sebelumnya, kuil di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 kerana kedudukannya terlalu rapat dengan kawasan kediaman.
Keputusan ini dibantah oleh sekumpulan penduduk Seksyen 23 dengan alasan mereka beragama Hindu hanya minoriti di situ.
Kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 Shah Alam.
Hmm.. Ada bau macam buah pala lah..
Comment by SaharFahzan @ Jumaat, Ogos 28, 2009 6:04:00 PTGKenapa sampai menghina sekiranya tidak bersetuju dengan pembinaan kuil tersebut. Kalau hendak bantah tidak salah ataupun buat demo ramai-ramai, tetapi janganlah sampai menghina. Buat bantahan biarlah berpada-pada, kalau sampai arak kepala lembu itu bukan lagi bantahan tetapi lebih kepada sentimen perkauman..... Selamat Menyambut Ramadhan.
Comment by musafirlalu @ Jumaat, Ogos 28, 2009 6:26:00 PTG