AsiaOne melaporkan sepasang kekasih ditangkap di bandar Dongguan, China kerana menjual tiga anak mereka untuk membiayai ketagihan mereka terhadap permainan dan judi atas talian. Menurut laporan akhbar China, ketiga-tiga kanak-kanak malang itu telah dijual kira-kira 63 000 yuan (S$ 11,760).
Pasangan, Li Lin dan Li Juan, dilaporkan bertemu di sebuah kafe internet pada tahun 2007 dan seterusnya menjalinkan hubungan kerana mempunyai minat yang sama, iaitu permainan atas talian.
Pasangan itu dilaporkan menerima kelahiran anak pertama setahun kemudian. Yang menyedihkan, media melaporkan bahawa pasangan ini meninggalkan bayi lelaki mereka seorang diri di rumah semata-mata kerana kemaruk bermain permainan atas talian di sebuah kafe internet yang letaknya kira-kira 30 km dari rumah mereka.
Pada tahun 2009, pasangan itu menerima kelahiran bayi perempuan sebelum bertindak menjualnya untuk membiayai tabiat perjudian mereka di internet.
Pasangan itu dilaporkan telah menjual bayi perempuan mereka untuk 3 000 yuan (S$560) dan kemudiannya menjual anak sulung mereka untuk jumlah yang lebih besar, iaitu 30 000 yuan (S$5 600). Apabila anak ketiga mereka dilahirkan, pasangan ini menjualnya serta-merta dengan harga yang sama.
Ibu Li Lin yang mendapat tahu perkara yang berlaku telah melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa. Pasangan ini didakwa menganggap perbuatan mereka tidak melanggar undang-undang.
Apabila ditanya jika mereka merindui anak-anak mereka, tanpa rasa bersalah mereka menjawab, "Kami tidak mahu membesarkan mereka, kami hanya mahu menjual mereka untuk sedikit wang."
P/s: Gila!