|
Antara kulit novel Interlok. |
Saya sudah ulas hal ini secara ringkas sebelum ini. Sila baca
di sini.
Saya nyatakan jika ada perkataan atau fakta yang salah tentang hal kegamaan yang dibawakan oleh Murugiah kepada pihak kementerian, saya cadangkan, ubahlah bahagian-bahagian yang salah itu kerana fakta tentang hal-hal keagamaan ini perlu tepat konteksnya.
Hari ini seperti yang dilaporkan di
BH,
Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata prinsip asas pengunaan buku itu tidak akan tercapai kerana terdapat satu bahagian yang menyentuh isu sensitif dalam kalangan masyarakat India berkaitan sistem kasta. Sistem kasta yang dimaksudkan sudah tentu berkaitan dengan istilah "paria"yang diguna pakai dalam novel ini. Saya tidak pasti sama ada penggunaannya merujuk kepada sistem itu atau dalam bentuk penghinaan.
Pendek kata, MIC terhina dengan istilah tersebut. Justeru mereka meminta agar kandungan novel itu diubah. Saya setuju jika perubahan dilakukan sedikit jika istilah itu berbentuk penghinaan, namun jika merujuk kepada kasta tidak perlulah ditukar kerana itu realiti kerana latar masyarakat yang digarap dalam novel ini berkisar masyarakat imigran dan masyarakat sebelum merdeka.
Lebih terperinci, latar masyarakat novel ini terdiri daripada latar masyarakat India yang berhijrah dari Tricur Kerala, India; keluarga Cina yang berhijrah dari Tanah Besar China; dan keluarga Melayu yang mempunyai perkaitan dengan keluarga India dan Cina tadi. Latar masanya sudah tentulah sebelum negara mencapai kemerdekaan atau lebih tepat pada zaman penjajahan. Latar tempatnya ialah India, China, Singapura, dan Tanah Melayu. Tema novel ini ialah integrasi antara kaum yang membabitkan kisah yang berlatarbelakangkan sejarah. Apabila menulis kisah berlatarbelakangkan begitu, sudah tentulah novel ini memerihalkan sejarah kedatangan kaum India dan Cina dan sudah tentu juga menyentuh sistem kasta kaum India yang berhijrah ke negara ini. Salahkah apabila Abdullah Hussain pada tahun 1960-an menulis novel yang menyentuh fakta-fakta itu?
Antara kritikan masyarakat yang terkandung dalam novel ini termasuklah kebodohan dan kejahilan Pak Musa sehingga membenarkan Cina Panjang menggunakannya untuk memiliki tanah. Sebagai akibat kejahilannya, anaknya Seman dihalau dari rumah selepas dia meninggal dunia. Dalam novel ini, Cina Panjang/Cin Huat digambarkan sebagai peniaga runcit, seorang yang angkuh, menganggap orang Melayu biadap dan malas, dan suka mengambil kesempatan atas kejahilan orang lain. Namun akhirnya Cina Panjang menyesal kerana bersikap demikian. Cina Panjang sedar akan kepentingan perpaduan dan kerjasama antara satu dengan yang lain. Watak Maniam pula digambarkan sebagai buruh di pelabuhan sebelum bekerja sebagai mandor di sebuah ladang. Maniam membantu Seman, anak Pak Musa mendapatkan pekerjaan di ladang tersebut kerana teringat akan jasa baik Pak Musa yang telah menolongnya selepas dia ditembak dan cedera parah. Anak Maniam dalam novel ini berjawatan sebagai Inspektor polis (hebat).
Antara konflik yang digarap dalam novel ini termasuklah peristiwa Seman yang berdendam dengan Cina Panjang merancang untuk merompak kedai milik Cina Panjang, namun melupakan hasratnya, malah membantu anak Cina Panjang Poh Eng menyelamatkan diri. Pada peringkat peleraian novel, Seman digambarkan bersama-sama dengan penduduk di Simpang Empat mahu ke kota untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara. Novel ini juga menunjukkan kesatuan masyarakat menentang Malayan Union malah memupuk kerjasama antara kaum melalui paparan peristiwa orang kampung mengumpul derma untuk membeli kaki palsu untuk Yew Seng.
Inilah antara fakta sejarah dalam bentuk sketsa kehidupan yang digarap dalam novel
Interlok. Adakah kisah ini jauh menyimpang daripada realiti/fakta masyarakat dahulu? Adakah sketsa kehidupan yang disampaikan dalam bentuk kritikan ini patut dianggap menyinggung mana-mana kaum?
Jika MIC bertegas mahu mengubah (major) isi kandungan novel ini, dan kerajaan akur dengan desakan itu, maka saya cadangkan agar kementerian memilih novel lain yang sesuai dengan jiwa masyarakat moden Malaysia, masyarakat yang mahu "melupakan" sejarah. Janganlah dirombak isi kandungan novel ini selepas 40 tahun lebih novel ini diterbitkan.
Kita patut bertanya: Mengapa selepas 40 tahun novel ini diterbitkan dan diangkat pula menjadi teks KOMSAS timbul cakap-cakap yang mempertikaikan kandungan buku ini? Adakah mereka faham maksud "interlok"? Adakah panel yang memilih novel ini memenangi Peraduan Mengarang Kemerdekaan 1967 gagal melihat fakta-fakta yang menyinggung masyarakat India dalam novel ini? Adakah panel yang terdiri daripada orang Melayu tidak berasa tersinggung dengan "perlekehan" masyarakat Melayu dalam novel ini?