Saya petik:
[HM] MELAKA: Luluh hati seorang isteri apabila suami yang diharapkan menjadi pelindungnya tergamak memukul dan mengugut membunuhnya akibat cemburu buta, awal bulan ini.
Dalam kejadian jam 11.35 malam pada 4 November lalu, Siti, 29, mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun menamparnya sejurus mengejutkannya daripada tidur di ruang tamu rumah mereka di Tanjung Keling, dekat sini.
“Suami menampar pipi kiri dan kanan serta memukul kepala saya bertalu-talu sambil bertanya mengapa saya curang. Saya terpinga-pinga dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut. Saya hanya mampu mengalirkan air mata menahan kesakitan.
“Kemudian dia ke dapur sebelum menghampiri saya semula dengan tangan kirinya memegang pisau. Dia mengacukan pisau ke leher saya dan tangan kanannya menarik rambut saya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku pada Ogos 2009 iaitu selepas enam bulan pasangan terbabit bernikah, namun ketika itu mangsa tidak membuat laporan polis.
Siti yang bertubuh kecil molek berkata, suaminya menekan pisau berkenaan agak kuat hingga lehernya luka.
“Dia mengugut membunuh saya jika meneruskan niat untuk bercerai. Dia juga mengugut mencederakan anak saya iaitu anak tirinya berusia tujuh dan lima tahun. Ini kali kedua suami memukul saya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya.
Dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Keling pada 18 November lalu dan laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) keesokannya....- Meor Riduawan, Shmaran, Mohd Zaidi
Berkaitan:
Antara Kes Dera Isteri
*
14 Februari 2005, Seremban, Negeri Sembilan — Seorang guru sekolah menengah di Rantau berusia 43 tahun membuat laporan polis kerana sering didera suaminya yang juga pegawai kastam berusia 47 tahun selama dua tahun. Mangsa yang berasal dari Kelantan didera suaminya di rumah mereka di Taman Tuanku Jaafar, Senawang. Lelaki itu menolak isterinya ke lantai beberapa kali hingga mencederakan badan mangsa.
*
6 April 2000, Cheras, Kuala Lumpur — Seorang suami memperlakukan isterinya seperti binatang apabila mengikat leher dan kaki mangsa menggunakan rantai besi sepanjang tiga meter dan dikunci dengan mangga besar. Mangsa turut diikat pada dinding rumah. Kadangkala suaminya mengheret keluar rumah dan mengikatnya pada tiang pagar di depan rumah di depan anak serta jiran.
*
1 Februari 1997, Kuala Terengganu — Seorang wanita hamil terpaksa melarikan diri ke rumah ibunya bersama anak sulung berusia 13 bulan selepas dikatakan tidak tahan sikap panas baran suaminya yang kerap memukul dan menderanya hampir setahun. Hadarulyani Shamsi, 20, dipercayai mengandung anak kedua, berlindung di rumah ibunya di Kampung Rahmat Felda Chalok, Setiu.
*
25 Julai 1997, Petaling Jaya — Akibat terlalu mengikut perasaan, seorang pekerja binaan berusia 33 tahun menerima padah apabila ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis selepas mendera isterinya di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara. Lelaki berkenaan enggan memberi wang diminta isteri untuk membeli beras dan keperluan dapur, sebaliknya menyepak serta menumbuk isterinya.
*
9 Ogos 1996, Kampung Baru, Kuala Lumpur — Jamilah Hassan dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, membuat pengakuan mengalami tekanan jiwa berikutan sering didera suaminya yang kaki mabuk dan judi selama tujuh tahun. “Dia sering memukul dan mencaci saya selain memaksa saya melakukan hubungan seks,” katanya.
*
21 Februari 1995, Pontian, Johor — Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis kerana disyaki mendera isterinya berusia 61 tahun sehingga mati di Kampung Belokok, Peradin. Siasatan polis mendapati lelaki itu dipercayai mencekik isterinya sebelum menolaknya sehingga jatuh di tangga rumah. Mangsa cedera teruk di kepala dan dada manakala leher dan mukanya lebam.
*
2 Mac 1995, Klang — Polis menahan suami seorang pekerja kilang kerana dipercayai memukul isterinya hingga parah di rumahnya di Jalan Young, Pandamaran, Klang, Selangor. Isteri lelaki itu yang berusia 35 tahun luka pergelangan tangan kanannya dipercayai terkena benda tajam serta bengkak pada mata, belakang badan, pipi dan punggung.
*
27 Disember 1995, Kuantan — Harapan seorang suri rumah untuk hidup bahagia bersama suami hingga ke akhir hayat punah apabila dia didera sehingga memaksanya meninggalkan rumah untuk mendapatkan pertolongan. Sarimah Suan, 17, cedera di dada dan perut dipercayai didera suami, terpaksa menahan sakit untuk pulang ke rumah bapanya di Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang.
*
22 Ogos 1994, Hulu Klang — Wanita berusia 30-an dan isteri kedua seorang imam dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur oleh ibunya selepas tidak sedarkan diri dipercayai menghadapi tekanan jiwa berpunca daripada perbuatan suaminya. Wanita itu kemudian membuat satu laporan bahawa ada beberapa tanda kecederaan pada tubuhnya berpunca daripada penderaan.