Kes "Perhambaan" Warga Malaysia di London: Kakak Mangsa Berlepas ke London
Kakak Siti Aishah Ikrar Tidak Pulang Selagi Tidak Jumpa Adik
[TMI] Kakak kepada Siti Aishah Abdul Wahab yang dipercayai terkurung selama 30 tahun di kota London akibat "perhambaan psikologi" berikrar melakukan apa sahaja asalkan dapat bertemu adiknya.
Kamar Mahtum Abdul Wahab yang berlepas ke Britian malam tadi berkata, walaupun masih belum pasti 100 peratus Siti Aishah adalah adiknya, tetapi, naluri hatinya tetap teguh dengan kepercayaan itu.
“Jika saya tidak dapat berjumpa dengannya, saya tidak akan pulang ke Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insider di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Siti Aishah adalah salah seorang daripada tiga wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London selepas salah seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.
Dua lagi wanita terbabit ialah warga Ireland berumur 57 tahun dan warga Britian, 30 tahun.
Akhbar Daily Mail semalam mendedahkan nama wanita termuda di antara ketiga-tiga tahanan itu bernama Rosie Davis.
“Jika dia adalah adik saya, saya gembira. Tetapi, apakah beliau gembira bila berjumpa saya?” kata Kamar, seorang pesara guru.
“Adik saya mungkin berubah, tetapi saya ada firasat. Allah bagi kita ‘the sixth sense.’ Saya akan tetap tahu dia adik saya jika dia benar-benar adik saya.”
Kamar berkata, apa sahaja yang Siti Aishah lakukan, wanita itu sudah membayar segala kesalahannya.
“Mereka harus bantu saya. Mesti tolong saya,” katanya merujuk kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di United Kingdom.
“Nak buat apa dia duduk di London. Lebih baik balik sini. Dia pelajar yang pintar. Dia patut lakukan sesuatu untuk negara,” katanya sambil menahan sebak.
Katanya, beliau yakin adiknya yang kini berumur 69 tahun adalah wanita Malaysia ditahan oleh pemimpin Komunis ajaran Mao Tse Tung sejak 30 tahun lalu.
Katanya, kehilangan Aishah menyebabkan kesedihan kepada keluarganya.
Buku nota terlekat gambar Siti AIshah antara bekalan Kamar Mahtum ke Kota London. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 November, 2013.Kamar berkata, ibunya memberikan wasiat agar menjejaki apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang tidak pernah pulang itu.
"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.
"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya kepada akhbar Britian The Daily Telegraph.
Hishamuddin akan membantu Kamar Mahtum di London dalam usaha bertemu adiknya. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 November, 2013.Sementara itu, Hishamuddin Rais yang akan membantu Kamar untuk berurusan di London berkata, mereka masih belum pasti berapa lama akan berada di sana.
"Saya tolong atas dasar kekeluargaan. Saya kenal keluarga Siti Aishah sejak kecil.
"Bahkan, kakaknya adalah guru saya di sekolah. Semasa di London dulu, abangnya pernah datang meminta bantuan untuk cari Siti Aishah," katanya kepada The Malaysian Insider.
Hishamuddin yang hidup dalam buangan di London pada lewat 1970-an berkata, Siti Aishah aktif dengan kumpulan mahasiswa Malaysia berhaluan kiri yang menggelarkan diri mereka "New Malayan Youth" di ibu kota Britian pada ketika itu.
Perkara ini disahkan Kamar kepada The Daily Telegraph bahawa Siti Aishah hilang sejak 30 tahun lalu di London selepas menyertai kumpulan Maois.
Akhbar Britian melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai “Comrade Bala” dan isterinya Chanda dari Tanzania, tetapi Hishamuddin berkata, lelaki itu turut dikenali sebagai “Chairman Ara” dan berasal dari Singapura.
Polis Britian mengesahkan pasangan itu pernah ditahan pada 1970-an tetapi tidak menyatakan sebabnya.
Polis juga enggan mengesahkan identiti pasangan itu yang dibebaskan dengan ikat jamin sehingga tarikh perbicaraan pada Januari depan tetapi mengatakan ketiga-tiga wanita itu tidak kelihatan seperti didera secara seksual. -27 November, 2013.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.