Menteri Besar, ADUN Selangor Dapat Kenaikan Gaji Mulai 1 Januari 2014
[BERNAMA] Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.
Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.
"Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat," katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid mengumumkan pembayaran setengah bulan bonus kepada kesemua 15,643 penjawat awam negeri yang akan dibayar mulai Januari depan yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM14.821 juta.
Dengan pemberian bonus itu, penjawat awam negeri menikmati satu setengah bulan bonus termasuk bonus untuk Aidilfitri yang diberikan tahun ini. Persidangan DUN bersambung esok. – November 27, 2013.
P/s: TM tidak mahu komen lebih-lebih fasal gaji ADUN, Exco, dan MB kerana mereka yang bersusah payah berkhidmat untuk rakyat. DUN pun sudah meluluskan gaji itu tanpa bantahan. Untuk rekod, Adun PR dan Exco masih belum terpalit dengan skandal meratah harta atau duit rakyat secara haram. Jika berlaku, sudah tentu SPRM yang sentiasa memerhati kerajaan PR tidak akan berdiam diri. Kalau masih ada yang rasa tidak puas hati, sila undi calon BN dalam PRU14.
Sebagai penduduk Selangor, TM mohon kerajaan negeri menambah peruntukan ADUN agar rakyat mendapat manfaat daripada kemakmuran ekonomi negeri. Perbelanjaan peruntukan tambahan itu pula perlu diaudit bagi memastikan duit itu tidak disalah guna atau dibazirkan.
Selain itu, peruntukan yang lebih besar perlu disediakan untuk tujuan pembersihan kawasan, pemungutan sampah, dan keceriaan negeri. Banyak kelemahan yang dapat dilihat dalam hal ini walaupun sudah ada sedikit perubahan daripada sebelumnya.
P/s: Yang bekerja dengan kapitalis sdn bhd, mengamuk pada tauke, moga-moga dinaikkan gaji. Kalau mengamuk pada Najib pun tidak berguna.
Berkaitan:
[HD] SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan langkah kerajaan negeri menaikkan gaji Menteri Besar, anggota Exco, speaker dan timbalan speaker yang dianggap masih rendah dan munasabah.
Beliau berkata kenaikan gaji antara 80 hingga hampir 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima Adun serta anggota pentadbiran negeri Sarawak, lapor Bernama.
"Kita naikkan gaji di Selangor kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.
"Saya berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak (beri) servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi. Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya kepada pemberita di lobi Dun Selangor di sini, hari ini.
Abdul Khalid turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa gaji baru beliau lebih tinggi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.
"Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000.
"Selain itu, sejak lima tahun lepas kita dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya.
Sementara itu beberapa anggota pembangkang Dewan Negeri (Adun) Selangor hari ini berbeza pendapat dengan ketua pembangkang, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung isu kenaikan gaji itu.
Shamsuddin seperti dilapor Selangorkini menganggap kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan negeri, Speaker dan Timbalan Speaker juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu adalah berpatutan serta wajar namun beberapa Adun BN menganggapnya tidak wajar dan terlampau tinggi.
Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker DUN mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.
"Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji Speaker DUN yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan.
"Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di sini.
Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata peratusan kenaikan gaji itu sepatutnya diselaraskan dan bukan hanya untuk menteri besar, speaker dan timbalan speaker, lapor Bernama.
"Melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya, kalau semua naik, maka peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan," katanya.
Namun, Johan bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini yang mendapat pertambahan 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan kerana sebahagiannya mungkin dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat. - 28/11/13
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.