Firma Guaman Sahkan Akaun Rosmah Tetapi Mahu Tindakan
Firma guaman yang bertindak bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengesahkan akaun Affin Bank yang didakwa menerima RM2 juta deposit tunai seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report, adalah kepunyaan isteri perdana menteri.
Bagaimanapun, firma guaman itu berkata kebocoran maklumat akaun itu, melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan oleh itu menuntut Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan.
Firma guaman Tetuan Noorhajran Mohd Noor dalam satu kenyataan malam ini berkata perlindungan maklumat dan kerahsiaan dan kekangan terhadap pertanyaan khusus mengenai hal ehwal pelanggan tertentu, juga diperuntukkan di bawah Akta yang sama.
Katanya, dalam satu pelanggaran jelas fungsi bank dan memandangkan profil pelanggannya di peringkat nasional dan antarabangsa, ia berharap BNM dengan segera dan/atau dalam tempoh 72 jam menjalan satu siasatan dan mengeluarkan penemuan terhadap pendedahan yang tidak dibenarkan di pihak bank itu.
Dalam mengesahkan akaun itu milik Rosmah, firma guaman itu berkata ia telah dibuka semasa pelanggannya itu seorang pekerja.
Akaun bank yang disebut dalam laporan di atas, katanya adalah akaun peribadi pelanggannya.
Menurutnya, ia dibuka pada tahun 1984 ketika pelanggan berkhidmat dengan Island & Peninsular Sdn Bhd (kini dikenali sebagai I&P Group Sdn Bhd).
Firma guaman itu juga menuduh Sarawak Report membuat "inferens" terhadap Rosmah dan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bertindak.
Walaupun firma guaman itu mendakwa "inferens" Sarawak Report itu berniat jahat untuk memfitnah Rosmah, namun ia tidak menyebut tentang sebarang saman fitnah. [Baca berita penuh/asal]
Berkaitan:
Peguam Rosmah Nafi Wang Dideposit daripada 1MDB
Sebuah firma guaman yang bertindak bagi pihak isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menafikan bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun bank beliau seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report, adalah dari 1MDB.
Firma guaman Tetuan Noorhajran Mohd Noor berkata pelanggannya itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau sebarang penyelewengan dana dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang kaitan wang itu dengan 1MDB.
Ia berhubung dakwaan laman pemberi maklumat Sarawak Report semalam bahawa RM2 juta dalam bentuk wang tunai telah didepositkan ke dalam akaun bank Rosmah antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Dalam satu kenyataan malam ini, firma guaman itu juga mengkritik ketua pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown (gambar) atas laporan tersebut.
Walaupun merujuk kepada laporan itu sebagai "tidak betul" dan "palsu", tetapi firma guaman itu tidak menyebut sebarang tindakan untuk menyaman Sarawak Report atau ketua pengarangnya.
Laman pemberi maklumat itu berkata laporan itu berdasarkan kepada dokumen daripada penyiasat kerajaan.
Berikutan laporan yang disiarkan itu, pasukan petugas khas - yang menyiasat dakwaan RM2.6 bilion dana yang dikaitkan dengan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - mengesahkan ia juga menyiasat dakwaan berhubung akaun Rosmah tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, pasukan petugas itu berkata ia sudah tahu tentang perkara itu sebelum pihak media membuat pendedahan mengenainya dan siasatan sedang dijalankan. -Malaysia Kini/10/7/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.