Jika Digugur Kerana 1MDB, Saya Reda - Muhyiddin Yassin
Selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri beberapa jam lalu, Tan Sri Muhyddin Yassin petang ini akhirnya membuka mulut.
Dalam kenyataannya, beliau menegaskan mempunyai pendirian sendiri dalam isu 1MDB untuk mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.
“Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya reda,” katanya.
Kecuali dalam isu 1MDB, beliau juga menegaskan selama berkhidmat, beliau sentiasa mendukung semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan perdana menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib hari ini mengumumkan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik menggantikan Muhyiddin
Selain Muhyiddin, empat orang menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan dari kabinet.
Najib berkata keputusan menggantikan Muhyiddin keputusan amat sukar, tetapi terpaksa dilakukan agar kabinet dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.
Pengguguran Muhyiddin itu dikaitkan banyak pihak, termasuk pemerhati politik, dengan kelantangannya mengulas isu sekitar syarikat pelaburan negara kontroversi 1MDB. -Malaysia Kini/28/7/15
Berkaitan:
Anak Muhyiddin Serah Takdir kepada Tuhan
Anak bekas timbalan menteri Najwa Mahiaddin, berkata menyerahkan nasib keluarga mereka kepada Tuhan. – Screenshot Twitter, 28 Julai, 2015.
Najwa Mahiaddin, anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari Kabinet hari ini menyerahkan nasib keluarga mereka kepada Tuhan.
"Allah knows best (Allah yang Maha Mengetahui)," tulisnya di laman Twitternya di akaun @najwamahiaddin pada jam 1.55 tengah hari, beberapa minit selepas pengumuman rombakan Kabinet diumumkan perdana menteri.
Beliau yang merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengeluarkan bapanya dari barisan Kabinet baru hari ini, bersama beberapa orang menteri lain.
Postingnya itu sehingga kini mendapat ulangan tweet kira-kira 3,800 kali dan disukai 936 pengguna Twitter.
Najwa juga mengulang tweet seorang pengguna dengan nama Farid Farish yang memuatnaik di Twitternya gambar Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, berpelukan dalam suasana yang mengharukan.
Rata-rata, pengikutnya di Twitter memberi respons yang positif dengan memberikan kata-kata dorongan kepadanya serta ada juga memberikan kenyataan pedas seakan-akan menyindir pemimpin BN yang lain.
Tuan Cohen @amirulhafiqq berkata "@najwamahiaddin sabarlah, kak. Dah terang lg bersuluh, tp ramai yg masih bodoh."
Manakala rakan penyanyinya Yuna Zarai di @yunamusic menyokong tulisan di Twitternya dengan berkata, "@najwamahiaddin sending love and support your way Najwa. (Saya sampaikan kasih sayang dan dorongan kepada anda, Najwa).
Sementara seorang pengikut dengan nama Azmi di akaun @wakazmi berkata: "org johor bersama tansri. Yes Allah knows best."
Ali Amir Razali di @aliamirrazali berkata: "semoga TS tabah. Hope u all r okay. Sad day (Harap anda semua okay. Hari yang menyedihkan)."
Manakala, Marr Mohamad di @MarrMohamad menulis: "Kami di belakang ayahmu. Allah maha mengetahui segalanya!"
Twitter beliau meraih lebih dari 5,000 retweet hanya dua jam selepas menulisnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman tersebut hari ini dalam satu siaran secara langsung, mengesahkan laporan The Malaysian Insider pagi ini tentang rombakan kabinet.
Najib mengakui menyingkirkan Muhyiddin sebagai timbalannya satu "keputusan amat sukar" tetapi terpaksa dilakukan bagi memastikan Kabinet bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.
"Saya boleh terima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan.
"Namun sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan pada forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara," katanya.
Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility), kata Najib.
Beliau berkata, rombakan Kabinet itu dilakukan selepas mengambil kira pertimbangan politik dan keperluan pentadbiran beliau bagi memastikan ia komited dan sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara. – The Malaysian Insider/28 Julai, 2015.
KENYATAAN MEDIA
YBHG TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.
Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.
Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.
Kepada Allah saya berserah.
TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.