[Video] Penggantungan Permit: The Edge Akan Ambil Tindakan Undang-undang
KUALA LUMPUR: Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.
Tindakan itu diambil susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggantung permit kedua-dua penerbitan itu untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa dari 27 Julai ini.
“The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut,” kata ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat dalam satu kenyataan hari ini.
Di dalam kenyataan yang sama, The Edge memaklumkan bahawa KDN, menerusi sepucuk surat, telah menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut ‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan keresahan umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’
KDN turut memberi amaran bahawa sekiranya ia gagal untuk menghentikan penerbitan selama tiga bulan, ia akan menyebabkan permit penerbitannya ditarik balik.
Melalui kenyataan yang sama, Ho berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.
"Kami tidak melihat bagaimana mendedahkan kes penipuan untuk menipu rakyat Malaysia berbilion Ringgit boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menjejaskan kepentingan awam dan negara.
“Ini adalah satu usaha untuk menutup operasi kami dengan menutup mulut kami," katanya lagi. -Awani/24/7/15
Berkaitan:
Penggantungan The Edge Langgar Kebebasan Akhbar - Kesatuan
KUALA LUMPUR: Penggantungan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan adalah bertentangan dengan kebebasan akhbar, kata Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Schave Jerome De Rozario.
Keputusan itu tidak adil kerana sudah menjadi tanggungjawab media untuk melaporkan berita, katanya.
Ketika dihubungi, De Rozario berkata media tidak hanya akan menerbitkan sesuatu 'gosip terang-terangan'.
Katanya, 1MDB masih lagi menjadi isu berterusan jadi adalah sesuatu yang tidak adil untuk mengambil tindakan terhadap penerbitan itu.
De Rozario berkata NUJ juga mengambil berat tentang kebajikan wartawan dan mereka yang lain yang terlibat dengan penggantungan tiga bulan itu.
"Kami dapat menyelami hati dan perasaan mereka."
Bagaimanapun, beliau berkata tidak banyak yang dapat dilakukan kesatuan itu kerana tiada seorang pun daripada mereka adalah anggota NUJ.
Editor The Star Media Group Leanne Goh berkata penggantungan itu menimbulkan kebimbangan pada masa perlunya wujud kebebasan akhbar.
Beliau berkata The Star telah melalui pengalaman yang sama pada tahun 1987 apabila ia telah ditutup selama lima bulan.
"Dalam zaman berita dalam talian dan media sosial, adalah sukar untuk melihat bagaimana penggantungan itu akan menjadi berkesan," katanya.
Ketua Editor Sin Chew Daily Pook Ah Lek berkata Kementerian Dalam Negeri sepatutnya mengambil langkah lain untuk menangani perkara itu.
"Tindakan undang-undang atau saman sivil boleh diambil," kata beliau sambil menambah penggantungan itu juga akan memberi kesan kepada vendor, pengiklan dan pembekal.
Beberapa kumpulan hak asasi juga mempersoalkan penggantungan itu, dengan Amnesty International Malaysia mendakwa bahawa terdapat corak baharu muncul dengan mengawal ketat kebebasan media.
"Tugas-tugas pertubuhan-pertubuhan berita ini tetap menjadi teras kepada peranan media dalam mana-mana demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
Lawyers for Liberty berkata kementerian perlu menarik balik penggantungan itu dan membenarkan kuasa-kuasa awam dan pasaran membuat keputusan sama ada liputan berita itu boleh dipercayai atau sebaliknya.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyifatkannya sebagai langkah terdesak yang bertentangan dengan kebebasan bersuara.
CIJ berkata, ia akan membawa kepada lebih banyak persoalan mengenai pengurusan 1MDB.
Katanya adalah menjadi kepentingan untuk orang ramai dan kerajaan memastikan bahawa tadbir urus dan pengurusan 1MDB telus dan bertanggungjawab. -Mstar/25/7/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.