Perkara yang Diketahui Setakat Ini tentang Isu Aliran Wang ke Akaun Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan cabaran paling sukar terhadap kepimpinannya ketika tekanan semakin memuncak berikutan tuduhan pengaliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.
Satu pasukan khas terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, polis, pihak berkuasa anti-rasuah dan Bank Negara Malaysia sedang menyiasat tuduhan yang dibuat The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu.
WSJ melaporkan pendedahannya itu muncul daripada siasatan kerajaan Malaysia ke atas dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Harian perniagaan itu turut memuat naik ke Internet dokumen aliran wang ke dalam akaun Najib bagi menyokong laporannya.
Laporan WSJ berkisar sekitar AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalur kepada dua akaun Najib di AmBank, Kuala Lumpur. Wang itu dipindahkan menerusi 5 deposit berasingan dari 2 tempat - satu secara tempatan, bermula dengan akaun SRC International Sdn Bhd, dan satu lagi dari satu syarikat Kepulauan British Virgin.
Menurut WSJ, jumlah terbesar daripada wang itu - AS$681 juta - dipindahkan ke akaun Najib pada Mac 2013, sebelum pilihan raya umum pada Mei tahun itu.
Ini berbeza daripada laporan terdahulu WSJ bulan lalu yang menyebut 1MDB mungkin secara tidak langsung mendanai sebahagian kempen Najib dalam pilihan raya umum, selepas firma itu membeli aset kuasa dari Genting Group pada harga yang tinggi.
Genting kemudian didakwa "menderma" sebahagian wang itu, sebanyak RM35 juta kepada sebuah yayasan kebajikan di bawah Najib, yang kemudian mempromosikan projek yayasan kebajikan ini sewaktu kempen pilihan rayanya, lapor WSJ.
Najib menafikan pengambilan dana bagi kepentingan peribadi, namun sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, beliau sudah diperhatikan berhubung urus niaga meragukan firma milik kerajaan itu dengan timbunan hutang sebanyak RM42 bilion dalam tempoh operasi 6 tahun sahaja.
1MDB sendiri kini disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara.
Namun tuduhan terbaharu ini, beserta dokumen memperincikan aliran wang ke dalam akaun perdana menteri, adalah yang paling berat.
Berikut perkara yang sudah diketahui serta soalan yang masih kekal misteri sejak laporan WSJ seminggu lalu.
Pegawai polis bergegas memasukkan barang rampasan dari pejabat 1MDB di Kuala Lumpur selepas diserbu semalam. Syarikat dana negara itu memang dalam perhatian sejak pendedahan pelbagai transaksi yang meragukan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 Julai, 2015.
Siapa pemilik wang?
Sumber wang masih belum diketahui tetapi kiriman wang secara tempatan datang daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat tenaga dimiliki Kementerian Kewangan sewaktu pemindahan itu dilakukan.
SRC bagaimanapun mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP) pada tahun 2011 bagi tujuan pelaburan dalam perlombongan dan sumber semulajadi.
Jejak wang itu ke akaun Najib bermula dengan pergerakan RM50 juta dari SRC kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan kemudian kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Dari sini, RM42 juta dipindahkan ke akaun Najib di AmBank dalam 3 deposit berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.
Pemindahan ini berlaku antara Disember 2014 dan Februari tahun ini.
Kiriman luar negara sebanyak AS$681 juta berasal dari Tanore Finance, syarikat Kepulauan British Virgin, dan dipindahkan 2 kali dari Falcon Private Bank di Singapura ke akaun peribadi perdana menteri di AmIslamic Bank pada 21 dan 25 Mac, 2013.
Syarikat terlibat
Laporan WSJ tidak menyebut AS$700 juta adalah dana dari 1MDB.
Bagaimanapun, SRC International dan Ihsan Perdana selaku syarikat tempatan yang terlibat dalam pemindahan tempatan kepada akaun Najib, mempunyai hubungkait dengan dana bermasalah milik negara itu.
SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum tahun 2012, sebelum ia dipisahkan, menurut 1MDB.
Pengarah urusan SRC adalah Nik Faisal Ariff Kamil, yang pernah menjadi ketua pegawai pelaburan di 1MDB, serta kenalan rapat ahli perniagaan Low Taek Jho.
Berdasarkan dokumen yang diperolehi daripada siasatan kerajaan, WSJ melaporkan yang Nik Faisal mempunyai kuasa peguam ke atas akaun bank peribadi Najib.
Sementara Ihsan Perdana pula disifatkan WSJ sebagai syarikat yang melaksanakan kerja tanggungjawab sosial korporat 1MDB.
Satu lagi syarikat dikaitkan dengan 1MDB juga muncul dalam pemindahan dana ke akaun Najib.
Menurut WSJ, Falcon Private Bank di Singapura adalah bank Switzerland yang dimiliki dana kekayaan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co, atau IPIC, yang pada bulan Mei menyuntik AS$1 bilion kepada 1MDB bagi menyelesaikan hutang bersindiket 1MDB dengan konsortium bank.
Pada 2012, IPIC juga menjamin pembayaran faedah dan prinsipal ke atas bon dikeluarkan 1MDB.
Yang masih kabur
Sehingga kini, tujuan pemindahan wang ke akaun Najib masih belum diketahui. Namun pemindahan luar negeri dari syarikat Kepulauan British Virgin sebelum pilihan raya umum 2013 pada 5 Mei, menimbulkan tanda tanya.
Pakatan Rakyat kini mempertimbang memfailkan tindakan undang-undang bagimembatalkan keputusan pilihan raya umum itu.
Malaysia, bagaimana pun, tidak mempunyai undang-undang berkenaan pendanaan politik.
Dokumen pemindahan bank yang dimuat naik WSJ juga tidak mendedahkan nama pemilik akaun, sebaliknya menyatakan nombor akaun di cawangan AmIslamic Bank di Kuala Lumpur, dengan 5 angka terakhir akaun itu digelapkan.
WSJ menamakan Najib sebagai pemegang akaun itu dalam rencana 2 Julai berdasarkan carta aliran daripada siasatan kerajaan.
Sehingga kini tiada pengesahan, baik oleh Bank Negara, AmBank atau perdana menteri sendiri, sama ada akaun-akaun berkenaan memang di bawah namanya.
Sama ada pemindahan wang ini melibatkan dana awam juga tidak dapat disimpulkan daripada dokumen yang didedahkan setakat ini, terutama apabila merujuk pemindahan dari luar negeri.
Setakat semalam, pasukan khas yang menyiasat kes ini membekukan 6 akaun sebagai sebahagian siasatan mereka, serta merampas dokumen yang mempunyai kaitan dengan 17 akaun bank.
Ia masih belum mengumumkan akaun bank milik siapa yang terlibat dalam pembekuan itu.
Najib mengeluarkan satu lagi penafian semalam, menegaskan beliau tidak pernah mencekup dana 1MDB bagi kepentingan peribadi. Penafiannya setakat ini, langsung tidak melibatkan dakwaan deposit wang ke dalam akaun-akaunnya.
Sebaliknya, beliau menyalahkan WSJ yang didakwa "berniat jahat" dan merupakan sebahagian plot bagi menggulingkannya.
Tindakan peguamnya juga menimbulkan semakin banyak persoalan. Menyimpang daripada kelaziman menghantar notis tuntutan dalam kes sebegini, peguamnya meminta "penjelasan" WSJ berkenaan fakta dalam laporan mereka. – The Malaysian Insider/9 Julai, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.