Peguam Negara Lihat Dokumen Siasatan 1MDB
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan beliau melihat laporan siasatan mengenai dakwaan pemindahan dana 1MDB ke akaun bank perseorangan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan beliau hari ini, Abdul Gani berkata, ia adalah antara dokumen yang diambil pasukan petugas khas bagi menyiasat isu 1MDB.
"Pasukan ini (pasukan petugas khas) telah memperoleh beberapa dokumen yang kemudiannya dikemukakan kepada saya untuk semakan. Saya mengesahkan bahawa saya telah menerima dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak daripada Pasukan Petugas Khas ini.
"Sehubungan itu, saya telah meneliti dan menyemak kesemua dokumen yang dikemukakan, dan seterusnya telah memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini bagi mengambil tindakan lanjut.
"Saya juga mengesahkan bahawa pada 3 Julai 2015, pasukan petugas khas ini telah menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan telah memperoleh dokumen dari ketiga-tiga premis terbabit," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Gani tidak menjelaskan butiran lanjut dokumen yang dimaksudkan.
Katanya, siasatan akan ditumpukan kepada setiap aspek yang dibangkitkan
Semalam Wall Street Journal membuat laporan mengejutkanmengenai dapatan penyiasat yang mengaitkan pengaliran dana hampir AS$700 juta ke akaun persendirian "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak".
Selepas Najib memberikan penjelasan mengenainya hari ini timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menggesa perdana menteri membuat pengesahan atau penafian meyakinkan berhubung kewujudan akaun berkenaan.-Malaysia Kini/4/7/15
Berkaitan:
Peguam Negara Sahkan Serbu Syarikat Didakwa Salur Wang ke Akaun Najib
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan menerima dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada pasukan petugas khas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Julai, 2015.
Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan pasukan petugas khas menyerbu 3 syarikat yang dikatakan menyalurkan wang ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak dan menambah beliau sudah menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.
Gani berkata, beliau sudah meneliti dan menyemak kesemua dokumen yang dikemukakan, dan memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini bagi mengambil tindakan lanjut.
Menurut Gani, semalam pasukan petugas khas sekali lagi menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan memperoleh dokumen.
"Saya mengesahkan menerima dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada pasukan petugas khas ini.
Semalam, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan ketiga-tiga syarikat ini memindahkan sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) kepada akaun peribadi Najib di Ambank.
Gani berkata, pasukan petugas khas, dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, sudah pun memulakan siasatan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Gani, siasatan pasukan petugas khas akan fokus kepada setiap aspek yang dibangkitkan.
"Saya yakin keanggotaan pelbagai agensi akan membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih profesional dan terperinci.
“Saya juga berharap semua pihak memberi kerjasama bagi membolehkan pasukan petugas khas ini menjalankan siasatan dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai," katanya. – The Malaysian Insider/4 Julai, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.