(Ong Tee Keat, Tiong King Sing)
[
MERDEKA REVIEW] Pergelutan antara Presiden MCA, Ong Tee Keat dengan Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing (gambar kanan) memasuki babak baru apabila Ong mengambil keputusan untuk menyaman Tiong semalam, menuntut gantirugi am sebanyak RM500 juta kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.
Tiong yang tegas dengan pendiriannya untuk tidak menarik balik kenyataan dan tidak memohon maaf, menyatakan bahawa dirinya telah bersedia untuk menghadapi Ong. Tiong melemparkan tuduhan yang menggemparkan apabila mendakwa dirinya pernah menyerah RM10 juta kepada Ong Tee Keat sebagai sumbangan dana politik.
Dengan kata lain, tindakan menyaman Tiong gagal melabuh tirai silat lidah di pentas media, sementara menunggu proses perbicaraan mahkamah, tetapi melanjutkan pertikaian yang tidak habis-habisan.
Silat lidah Tiong vs pemimpin MCA
Dari strateginya, Tiong telah memerangkap Ong dengan pendedahan "sumbangan dana politik sebanyak RM10 juta kepada Ong". Walaupun sukar dikesahkan sejauh manakah kebenarannya kenyataan Tiong tersebut, namun ia telah mencungkil kecurigaan terhadap Presiden MCA ini.
Malah, orang-orang yang rapat dengan Ong telah diberi "amaran yang tersirat", oleh Tiong agar tidak campur tangan dalam "konflik antara dua orang" ini. Misalnya, Ketua Wanita MCA, Chew Mei Fun (gambar kiri) terpaksa mengaku bahawa dirinya pernah menerima sumbangan dana politik sejumlah RM35,000 daripada Tiong.
Tiong tidak berpuas hati apabila Chew menyerang dirinya semasa membela Presiden MCA, lalu membongkarkan bahawa dirinya pernah menyumbang dana politik kepada ramai pemimpin MCA. Apabila Chew menyerang balik bahawa Tiong masih berhutang RM100,000 kerana janji sumbangan dana belum tidak ditunaikan, Tiong menjawab dengan soalan yang berlapik, "Cuba Chew fikir baik-baik, betulkah saya hanya menderma RM35,000 kepadamu? Sila ingat sebaik-baiknya."
Pertikaian antara Tiong dengan pemimpin MCA mencungkil perdebatan isu "sumbangan dana politik", yang dikatakan beroperasi dalam keadaan yang tidak telus, dan mungkin berbau "rasuah". Ramai pemimpin MCA sebenarnya pernah menerima sumbangan dana politik daripada Tiong, yang kini digelar sebagai "mesin ATM BN".
Keterlanjuran pemimpin MCA
Justeru itu, apabila Bendahari Agung MCA, Tee Hong Seng (gambar kanan) menafikan bahawa MCA menerima RM10 juta daripada Tiong, dengan alasan bahawa parti tersebut memiliki harta bernilai RM 2 billion, pembongkaran yang lebih besar diletupkan.
Tiong telah mendedahkan bahawa beliau melalui Wawasan Development Sdn Bhd, anak syarikat Wijaya Baru Global Berhad, telah menyewa lapan buah rumah kedai yang bertingkat empat kepada MCA, dengan RM1 sebulan, untuk dijadikan cawangan Kolej RAHMAN di Sabah.
Menurut Tiong, harga sewa di pasaran adalah RM500,000 setahun, maka kontrak tiga tahun ini bernilai RM1.5 juta. Tiong yang dibidas oleh pemimpin MCA berkata dirinya "terkejut" dengan "kekayaan" yang dimiliki MCA, lantas akan "mempertimbangkan untuk terus menderma kepada MCA atau tidak", memandangkan MCA telah memiliki harta yang "sebesar" itu.
Kenyataan Bendahari Agung itu semestinya menyukarkan MCA untuk memungut derma pada masa akan datang. "Keterlanjuran" ini bukan sekadar berlaku pada Bendahari Agung, tetapi Timbalan Setiausaha Agung MCA, Loke Yuen Yow.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 18 Ogos, Loke menyerang Tiong dengan dakwaan bahawa "politik wang" berleluasa di Timur Malaysia, malah MCA timbul niat untuk menyeberang ke Timur, setelah diransang keinginan Tiong untuk menyeberang ke Semenanjung.
Tiong mengambil kesempatan untuk menyerang balik, berkata tuduhan politik wang berleluasa di Timur Malaysia telah menyinggung perasaan orang Sabah dan Sarawak. MCA yang berada di pihak tertekan, akhirnya mendakwa bahawa kenyataan Loke, termasuk cadangan untuk MCA menyeberang ke Timur, hanya mewakili pandangan peribadi.
Ong mengerah sokongan parti
"Kredibiliti MCA akan terjejas seandainya saya bongkar lagi!"
Demikianlah amaran keras yang diberikan oleh Tiong kepada pemimpin MCA yang cuba campur tangan dalam perbalahan antara Tiong dengan Ong. Tiong cuba mengheret Ong untuk bertarung one by one, malah mencabar Ong untuk bersemuka dan membahaskan isu ini.
Ong (gambar kiri, berbaju putih) sebaliknya kembali ke parti untuk mengerah sokongan, sebagai bentengnya ketika berdepan dengan serangan Tiong. Ong cuba mengutarakan "skandal PKFZ" sebagai isu pokok kepada segala pertelingkahan. Ong mendakwa dirinya sedang membaiki imej BN, dengan siasatan menyeluruh terhadap skandal PKFZ, untuk menunjukkan bahawa BN bertekad untuk membanteras rasuah.
Malah, Ong sekali lagi menjangkakan bahawa dirinya mungkin digulingkan pada September tahun ini.
Jelas, Ong cuba mewujudkan suasana krisis dalam partinya, supaya ahli MCA bersatu menjadi tembok sokongan dirinya. Namun, menurut beberapa sumber maklumat dalam MCA, taklimat yang diadakan oleh Ong tidak menerima sambutan yang memberangsangkan.
Apakah Ong Tee Keat benar akan berdepan dengan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada September ini, dan dibuang "undi tidak percaya"? Ia kekal sebagai soalan yang bakal menemui jawapan pada September. Namun, apa yang terpapar di depan mata, pemimpin UMNO masih berpeluk tubuh, membiarkan Ong bersendirian berperang dengan "rasuah", kononnya.
Baca:
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu.