Ibu dan Kekasih Seronok Dera Bayi 22 Bulan
Ada orang Allah uji dengan tidak memberikan zuriat. Ada orang Allah uji dengan melewatkan sedikit masa untuk memperoleh zuriat. Ada orang Allah uji dengan memberikan zuriat. Ada orang Allah uji dengan memberikan mereka zuriat yang banyak.
Hakikatnya, dapat atau tidak zuriat adalah ujian Allah kepada manusia. Jika dikurniakan zuriat, Allah ingin menguji manusia mendidik dan memelihara amanah yang diberikan kepada hamba-Nya. Jika tidak memperoleh zuriat pula, Allah menguji mereka tentang erti kesabaran dan keteguhan iman kepada-Nya.
Namun, ada kalangan yang dimurahkan rezeki zuriat membuang anak yang diamanahkan kepada mereka. Ada yang mendera anak yang merupakan darah daging sendiri. Walaupun bukan beragama Islam, atau mungkin beriman dengan agama yang dianutinya, namun atas dasar kemanusiaan, apakah kejadahnya alasan kedua-dua lahanat ini mendera bayi yang tidak berdosa seperti yang diberitakan di bawah ini. Saya petik:
[HM] LINCOLN (Nebraska): Gambar dipaparkan ini menceritakan kisah yang menyayat hati apabila seorang bayi lelaki dipercayai menjadi mangsa kekejaman ibu dan kekasihnya.
Bayi berusia 22 bulan itu dilekatkan ke dinding selepas ibu dan kekasih wanita itu seronok berparti di kediaman mereka di Lincoln, Nebraska, Amerika Syarikat. Jayla Hamm, 18, dikatakan membantu kekasihnya, Corde Honea,19, melekatkan lengan, kaki dan tubuh bayinya ke dinding menggunakan pita pelekat.
Jayla dan Honea kemudian mengambil gambar bayi malang itu yang menangis kesakitan sambil mengacukan minuman kegemarannya. Perbuatan tidak berhati perut pasangan itu terdedah apabila Jayla menunjukkan gambar berkenaan kepada seorang rakan yang kemudian menghubungi polis. Polis merampas kamera digital yang digunakan pasangan itu untuk mengambil gambar bayi terbabit.
Menurut polis, bayi itu dilihat menangis kesakitan ketika dilekatkan ke dinding dengan pita pelekat.
Satu daripada gambar memaparkan bayi itu cuba melepaskan diri apabila lengan dan tangannya dilekatkan ke belakang pada dinding.
Gambar lain pula menunjukkan pita pelekat dilekatkan merentangi tubuh dan kakinya.
Polis berkata, pasangan itu yang didapati khayal selepas seronok berparti melekatkan bayi berkenaan ke dinding untuk tujuan hiburan bukan mendisiplinkannya.
Perbuatan kejam itu berlaku selepas kisah seorang budak perempuan dilekat pada dinding tersebar di Internet sebelum ini.
Hakim Paul Korslund menjatuhkan hukuman penjara 10 hari ke atas Jayla dan tempoh percubaan selama dua tahun. “Apa yang mengejutkan mengenai kes ini ialah ia menyalahi fitrah semula jadi ibu bapa yang biasanya akan melindungi anak mereka daripada penderaan dan penghinaan,” kata Korslund. Bayi berkenaan kini ditempatkan di pusat perlindungan negeri.
Honea pula dihukum 3 hingga 5 tahun penjara kerana mendera kanak-kanak dengan niat. Dia juga dipenjara 2 hingga 5 tahun atas tuduhan berasingan iaitu melakukan rompakan dan 12 ke 24 bulan kerana memiliki senjata api curi. -Agensi



Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.