GHB Sertai Bersih 4 Sepenuhnya, Ganti PAS yang Boikot
Ketika PAS tidak menyertai Bersih 4, kesemua pemimpin dan ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal turun menyertai himpunan kali ini yang akan bermula esok.
Mereka akan ditempatkan di kesemua 5 pusat himpunan utama di tengah-tengah bandaraya dengan Masjid Negara menjadi tumpuan kepimpinan mereka yang dipecahkan mengikut negeri asal.
Pengerusi GHB, Mohamad Sabu bersama timbalannya Salahudin Ayub akan berhimpun di Masjid Negara bersama pemimpin GHB dari Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.
Turut sama di kawasan itu Datuk Dr Mujahid Yusuf, Mohd Sany Hamzan, Anuar Tahir, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.
Peserta dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula akan berkumpul di Central Market dengan dipimpin Dr Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat, Mazlan Aliman, Aiman Athirah, Adly Zahari, Zulkefly Mohamad Omar dan Aminolhuda Hassan.
Para peserta dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang pula akan berkumpul di Menara Maybank dengan dipimpin oleh Dr Hatta Ramli, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Izeham Hashim dan juga Dr Hamzah Jaafar.
Di Sogo pula, peserta dari Kelantan dan Terengganu akan berhimpun di bawah pimpinan Datuk Kamarul Baharin, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Dr Siti Mariah Mahmud.
Peserta GHB dari Perak pula akan berhimpun di Brickfields dengan dipimpin Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin dan Asmuni Awi.
Turut serta bersama pimpinan mereka adalah pasukan Amal Relief (Arif) yang dibentuk GHB bagi menggantikan Unit Amal PAS yang sentiasa memberikan khidmat kawalan sebelum ini.
GHB juga membawa pasukan peguam mereka dalam membantu peserta perhimpunan kali ini.
Himpunan Bersih 4 akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu serta beberapa bandar utama dunia.
Ia akan bermula jam 2 petang esok dan akan berlangsung selama 34 jam bagi menuntut lima perkara iaitu bersihkan pilihan raya, wujudkan kerajaan yang bersih, berikan hak untuk membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen dan selamatkan ekonomi Malaysia. – The Malaysia Insider/28 Ogos, 2015.