Pulau Pinang Nafi Potong Peruntukan Tahunan Sekolah Agama
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan tuduhan beberapa pihak yang kerajaan pimpinannya baru-baru ini menghentikan peruntukan tahunan untuk sekolah agama rakyat (SAR) di negeri itu.
Beliau berkata, "pembohongan" itu sebahagian daripada "fitnah" yang giat disebarkan mengenai pentadbirannya, bertujuan membakar sentimen perkauman dan agama.
"Kerajaan negeri tidak pernah kurangkan peruntukan tahunan RM1.75 juta kepada SAR yang merupakan tambahan kepada peruntukan puluhan juta untuk hal ehwal Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Permainan fitnah terhadap saya berdasarkan perkauman dan ekstremis, dengan menggunakan isu agama, kini bermaharajalela di Pulau Pinang bagi memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat majmuk di Malaysia," kata Lim.
Setiausaha agung DAP itu berkata, merupakan satu fitnah untuk menyatakan bantuan kepada SAR dihentikan atau dikurangkan, kerana RM1.75 juta tetap dibayar setiap tahun.
Dalam kenyataan sama, Lim juga menafikan memberi RM200 seorang kepada 3 penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menarik balik laporan polis yang mendakwa mereka dihina semasa menjalankan tugas.
Katanya, anggota penguatkuasa itu membuat laporan polis pada 7 Oktober, hari kejadian menghina itu, tetapi ditarik balik kemudiannya kerana bimbangkan keselamatan mereka.
"Kerajaan negeri mengarahkan laporan polis dibuat semula agar tindakan boleh diambil, dan laporan polis dibuat semula pada 8 Oktober.
"Saya hanya bagi wang penghargaan pada 9 Oktober. Dua pemuda yang terlibat sudah pun ditangkap polis," kata Lim.
Berhubung satu tweet yang dikatakan dibuatnya, menggesa mereka yang tidak bersetuju dengan larangan memasang pembesar suara bagi aktiviti masjid selain azan supaya meninggalkan negeri itu, Lim berkata beliau membuat laporan polis tentang tweet palsu itu menerusi Setiausaha Politiknya Wong Hong Wai.
"Jelas sekali, golongan politik yang anti kerajaan negeri Pakatan Harapan, sedang giat membakar sentimen perkauman dan ekstremis agama, dengan apa-apa pun fitnah jahat, untuk cuba menutup skandal rasuah kewangan RM42 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri," katanya.
Pada Selasa, sebuah sekolah agama dilaporkan menyelar kerajaan negeri kerana menghentikan dana operasi tahunannya atas sebab-sebab yang dianggap bersifat politik.
Pengetua sekolah itu mencemuh pihak berkuasa agama di negeri itu, dengan mengatakan langkah yang dibuat secara tiba-tiba itu merupakan satu tindakan pilih kasih.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Kassim, yang dilaporkan berkata kerajaan terus menerus menyediakan dana untuk sekolah agama di Pulau Pinang tahun ini.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.75 juta kepada 177 sekolah agama di negeri itu. – The Malaysian Insider/11 Oktober, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.