Atlet Bola Baling Bebas Tuduhan Merogol Pegawai Pengiring Pasukan
Seorang atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2013 hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Adib Adha Ismail, 20, di akhir kes pendakwaan.
Oleh itu, katanya tertuduh tidak perlu dipanggil untuk membela diri.
"Mangsa tidak dapat memastikan dengan jelas sama ada tertuduh merogolnya atau tidak, sebaliknya mangsa hanya mengecam seorang daripada ketiga-tiga tertuduh yang merogolnya.
"Tiada apa yang boleh dikaitkan dengan kamu selain profil asid deoksiribonukleik (DNA) pada tuala, namun ia bukan bukti langsung yang boleh menunjukkan kehadiran kamu di tempat kejadian. Selain itu, banyak keraguan timbul berdasarkan keterangan saksi," kata hakim itu.
Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pukul 4.10 pagi, 4 Julai 2013.
Pada 11 Julai 2013, tertuduh didakwa bersama-sama dua lagi atlet bola baling lelaki Sukma 2013 iaitu Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 21, dan Mohammad Shaizzad Md Shafie, 21, merogol wanita sama, di tempat dan hari sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada 9 Okt 2014 Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan itu kerana saksi tidak hadir pada perbicaraan kes itu.
Pada 3 Nov 2014 mereka didakwa semula di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sama. Bagaimanapun pada hari itu hanya Adib Adha yang hadir ke mahkamah manakala dua lagi rakannya tidak hadir.
Hari ini mahkamah menetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan terhadap Adib Adha selepas mendengar keterangan 14 saksi pendakwaan termasuk mangsa dan rakan baik mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin manakala Adib Adha diwakili peguam Guok Ngek Seong. - Bernama/15/10/15
Berita awal di sini, di sini. |
Berkaitan:
3 Atlet Sukma Didakwa Rogol Pegawai Pengiring
Tiga atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 hari ini masing-masing mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya atas pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling itu, Khamis lepas.
Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 19, Mohammad Shaizzad Md Shafie, 19, dan Adib Adha Ismail, 18, masing-masing memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim iaitu Yasmin Abdul Razak, Abu Bakar Manat dan Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, antara jam 4 pagi hingga 4.10 pagi, 4 Julai lepas.
Megat Farzeril Faiz didakwa merogol wanita itu pukul 4 pagi, Mohammad Shaizzad pula pada jam 4.05 pagi dan Adib Adha pula 4.10 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu Adib Adha dan Mohammad Shaizzad perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Mereka juga diperintahkan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Jian tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua tertuduh dengan alasan kes itu berprofil tinggi kerana dikhuatiri semua tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang terdiri daripada rakan tertuduh sendiri.
Beliau juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Abu Bakar.
Peguam Stephanie Wong, yang mewakili Adib Adha memohon jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan dikenakan terhadap anak guamnya iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan selain akan memastikan dia tidak mengganggu mangsa dan siasatan polis.
Peguam Datuk Suraj Singh, yang mewakili Megat Farzeril dan Mohammad Shaizzad, memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan diikat jamin selain memberi jaminan mereka tidak akan mengganggu mangsa.
Suraj berkata Megat Farzeril yang membantu ibunya berniaga hanya berpendapatan RM800 sebulan dan dia perlu menanggung empat beradik manakala Mohammad Shaizzad masih menuntut di sebuah kolej tempatan.
Peguam pemerhati Ranjit Singh yang bertindak bagi pihak mangsa, memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah larangan kepada pihak media supaya tidak mendedahkan sebarang nama dan identiti mangsa.
Suraj yang menyokong permohonan Ranjit, berkata: "Media juga harus diberi amaran supaya tidak membuat penilaian dalam kes ini sehingga mahkamah membuat keputusan".
Mahkamah membenarkan permohonan itu.
Sebelum prosiding bermula, ketiga-tiga tertuduh kelihatan menangis sambil memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di mahkamah.- Bernama/11/7/2013
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.