Kumpulan Pembeli Cadang Putrajaya Tingkatkan Had Pembelian Hartanah Warga Asing ke RM2 Juta
Putrajaya perlu meningkatkan harga minimum daripada RM1 juta kepada RM2 juta bagi pembelian hartanah warga asing di Malaysia, kata kumpulan yang mewakili pembeli rumah, menggesa peraturan lebih ketat dikenakan terhadap pembeli luar negara.
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata mereka juga berharap, dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan petang ini, Putrajaya mengenakan sekatan ke atas warga asing untuk hanya membeli hartanah berstrata dan bukan harta benda bertanah.
Dua tahun lalu, Najib mengumumkan dalam Bajet 2014 warga asing hanya boleh membeli hartanah dengan nilai minimum sebanyak RM1 juta, meningkat daripada RM500,000.
Ia merupakan sebahagian rancangan kerajaan untuk mengetatkan peraturan bagi membendung spekulasi pelabur tempatan dan asing dalam pasaran hartanah.
"Harga rumah-rumah semakin tidak masuk akal, dalam tempoh 5 tahun lepas ia meningkat begitu tinggi dan di luar kemampuan rakyat Malaysia," kata Chang kepada The Malaysian Insider.
"Sekarang kita tidak mahu membenarkan warga asing membeli begitu banyak hartanah kita tanpa kawalan, oleh itu adalah penting untuk membendungnya, dan nilai minimum RM1 juta adalah terlalu rendah.
"Jika kerajaan merancang untuk mereka melabur di negara kita, benarkan mereka, jangan sekat mereka (tetapi) benarkan mereka untuk membeli hanya hartanah berstrata yang berharga lebih RM2 juta."
Katanya, ini perlu di saat kejatuhan nilai ringgit.
Pulau Pinang antara negeri-negeri di Malaysia yang menetapkan harga lantai minimum sendiri untuk pembeli di luar negara sebanyak RM1 juta di tanah besar dan RM2 juta di kawasan pulau.
Chang juga mencadangkan kerajaan supaya mengehadkan pembelian asing kepada hanya pemilikan pegangan pajak, manakala hartanah pegangan bebas dikhaskan untuk rakyat Malaysia.
"Jika pegangan bebas, akhirnya ia akan menjadi hak milik warga asing... apabila tempoh pajakannya lebih pendek, nilai harta menjadi lebih rendah, katakan kerajaan memerlukan atau ingin memperoleh harta itu apabila tamat tempoh pajakan, kerajaan tidak terbeban dengan perlu membayar begitu banyak pampasan kepada mereka yang memiliki harta pajakan.
"Kita harus melarang mereka daripada membeli pegangan bebas serta kediaman bertanah kerana misalnya, harta bertanah seperti di Kajang atau Semenyih sudah berharga antara RM750,000 dan RM950 000 untuk rumah teres 2 tingkat dan banglo, ia kira-kira RM2 juta.
"Jadi ia tidak menafikan peluang rakyat Malaysia untuk membeli hartanah untuk pelaburan jangka panjang dan untuk tempat tinggal keluarga mereka," kata Chang.
Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan Malaysia (Rehda) berkata pada September lepas, prestasi jualan untuk satu setengah tahun yang lalu, bukan sahaja dengan bilangan pembeli mengecil, tetapi juga nilai hartanah dipamerkan dan jualan akan turun dengan ketara.
Unit tidak terjual juga meningkat daripada 64% pada separuh kedua 2014 kepada 78% dalam tempoh separuh pertama 2015, kata Rehda.
"Banyak lot Bumiputera tidak ditawarkan dan masalah pembiayaan akhir/penolakan pinjaman adalah sebab-sebab utama bagi unit-unit yang tidak terjual," kata Rehda, sambil menambah, bagaimanapun, tanda-tanda menunjukkan keadaan masih terkawal.
Rehda juga mengatakan unit strata menguasai pelancaran dengan pangsapuri dan kondominium mencatatkan jenis yang paling banyak dilancarkan pada separuh pertama 2015 berbanding unit bertanah, yang menyaksikan pengurangan.
Rehda juga berkata pelancaran hartanah strata ini dilakukan terutamanya di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.
"Separuh daripada unit yang dilancarkan berharga di bawah RM500,000 dan ada juga diperhatikan pelancaran hartanah di bawah RM200,000 meningkat. Kebanyakan negeri mengekalkan harga mereka kecuali Pulau Pinang, Johor dan Kelantan," katanya.
Sementara itu, persatuan pembeli rumah juga mencadangkan agar kerajaan memansuhkan cadangan penubuhan Syarikat Jaminan Perumahan (HGS), yang matlamatnya untuk melindungi pembeli dan pemaju perumahan sekiranya berlaku pengabaian projek perumahan oleh pemaju.
"Syarikat Jaminan Perumahan (HGC) adalah serupa dengan jaminan keuntungan pemaju. Penubuhan HGC akan dilihat sebagai 'lesen' bagi pemaju untuk cepat melancarkan projek perumahan baharu dalam jumlah yang besar tanpa mengira keupayaan mereka," kata HBA dalam cadangannya, sambil menambah pemaju akan tahu mereka mudah mengabaikan projek sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
"Kerajaan tidak perlu membazirkan sumber-sumbernya untuk merumuskan HGS kononnya untuk 'menyelamatkan' pembeli rumah," kata persatuan itu.
HBA juga menggesa Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dilaksanakan dengan sepatutnya dan mengingatkan janji kerajaan untuk konsep 'Bina dulu, jual kemudian 10:90' yang sepatutnya diwajibkan tahun ini.
Mengikut sistem ini, pembeli hanya perlu mengeluarkan bayaran awal pendahuluan sebanyak 10% semasa membuat tempahan rumah, dan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lain sehingga milikan harta itu disampaikan kepada mereka, dan barulah baki 90% akan dibayar. – The Malaysian Insider/23 Oktober, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.