Phahrolrazi Sedia Jawab Isu Kejatuhan PAS di Kedah
Phahrolrazi: Menantu Hadi Hanya Buat Telahan Sendiri
Menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad tidak boleh mengaitkan kejatuhan PAS di Kedah dengan keadaan politik parti itu di Kelantan kerana ia langsung tidak sama, kata bekas exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.
Beliau berkata Zaharudin adalah orang luar yang hanya membuat telahan sendiri apabila mendapat maklumat dari pihak lain.
Semalam, Zaharudin mendakwa bekas exco Kelantan Datuk Husam Musa cuba menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan seperti yang pernah dibuat oleh Phahrolrazi terhadap PAS Kedah.
“Saya tidak boleh nak komen bagaimana dia kata cara itu sama, jadi Zaharudin kena terangkan sikit. Adakah maksud dia kata Datuk Husam itu mendedahkan, mengkritik sesuatu benda yang agak spesifik.
“Saya tarik diri daripada kerajaan kerana berbeza pendapat, Datuk Husam tak sama dengan saya. Datuk Husam tidak ada tarik diri semasa exco tapi saya tarik diri. Jadi macamana dia nak kaitkan sama.
“Bila saya tidak mahu dilantik semula, itu yang dianggap satu krisis, ketika itu saya tidak berapa setuju dengan pemerintahan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum kejatuhan PAS di Kedah, Phahrolrazi yang ketika itu merupakan timbalan pesuruhjaya PAS negeri, telah membidas pentadbiran Azizan.
Penyokong Azizan mendakwa ia sebagai komplot Pharolrazi untuk mengguling menteri besar.
Hari ini di negeri Kelantan pula, Husam lantang mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri itu yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.
Malah Husam yang juga ADUN Salor menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.
Zaharudin turut menjemput Husam untuk berdebat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) berkaitan perkara itu bulan depan.
Justeru, Phahlolrazi berkata, beliau sudi menjawab dakwaan yang dikemukakan oleh Zaharudin sekiranya turut dijemput dalam debat berkenaan.
“Saya tidak cadang untuk jawab dakwaan Zaharudin sekarang tapi kalau ada yang berbangkit mengenai Kedah, saya sedia hadir menjawab.
“Saya dengar-dengar ada satu debat Zaharudin dengan Datuk Husam, jadi kalau berbangkit perkara ini, saya akan jawab secara spesifik kerana apa yang ditulis oleh Zaharudin terlalu umum,” katanya. -30/10/15
Berita Lama:
Ulama Pas Kedah Minta Tukar Azizan
Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli
ALOR SETAR - Dewan Ulama Pas Kedah sudah beberapa kali minta pucuk pimpinan Pas menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai pesuruhjaya Pas negeri dengan pemimpin lain sejak setahun lalu.
Setiausahanya, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menamakan siapa pemimpin yang paling layak menggantikan Menteri Besar Kedah itu.
"Ini kerana kita (Dewan Ulama) yakin pimpinan tertinggi Pas tahu siapa yang terbaik untuk mereka pilih," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, pihaknya mencadangkan demikian bukan kerana tidak menghormati Azizan ataupun menolak kepimpinannya.
"Apa yang kita ambil kira hanya atas sebab masalah kesihatannya saja. Kita akui kehebatan Ustaz Azizan sebagai ahli politik yang disegani," katanya.
Ditanya kepada siapa cadangan itu dikemukakan, Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, ia dsuarakan terus kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Kali terakhir cadangan itu dibuat ialah ketika kunjungan Presiden (Abdul Hadi) ke Kedah bagi sambutan Tahun Baru Cina di Alor Setar. Kami berjumpa secara bersemuka dan beri cadangan secara lisan,” katanya.
Menurutnya, cadangan dibuat kerana bimbang perjalanan parti terjejas menjelang pilihan raya umum yang akan diumumkan pada bila-bila masa sekarang, ekoran masalah kesihatan Azizan yang dilihat berterusan.
“Ia sekadar cadangan dan bukan desakan daripada Dewan Ulama. Kami masih hormati sikap mentaati kepimpinan tertinggi,” katanya.
Ditanya sama ada perubahan itu wajar diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, terserah kepada kepimpinan Pusat untuk melihat kesesuaian masa.
“Setakat ini tiada maklum balas daripada Pusat berhubung cadangan itu, walaupun sudah disuarakan sejak setahun lalu,” katanya.
Pihaknya juga menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan dewan itu menyerahkan satu memorandum kepada Pusat, yang antaranya mahu Azizan dilucutkan jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah dan Menteri Besar sebelum PRU13.
“Tidak ada memorandum seperti didakwa, itu khabar angin,” tegasnya.
Ditanya mengenai spekulasi terbaru membabitkan beberapa nama sebagai calon menteri besar, selain Azizan, iaitu Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Dewan Ulama menyerahkan kepada Pusat untuk menentukan calon terbaik.
“Dewan Ulama akan ikut pilihan Pusat, sesiapa yang dilantik sebagai menteri besar kami akan sokong. Pemimpin Pusat lebih mengetahui calon paling layak dalam Pas Kedah, termasuk menilai prestasi Azizan,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan spekulasi siapa calon menteri besar baru sekiranya Azizan tidak lagi menyandang jawatan itu, selepas beberapa desakan akar umbi dari beberapa kawasan mahu perubahan dibuat selepas PRU13 ini. -Sinar Harian/20/3/2013
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.