Kalau Tak Salah, Jangan Campur Siasatan 1MDB - Muhyiddin
Proses siasatan membabitkan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya diganggu jika tiada sebarang kesalahan dilakukan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan presiden Umno itu berkata, orang ramai ingin melihat proses siasatan membabitkan transaksi syarikat sarat hutang milik Kementerian Kewangan itu dijalankan dan mereka mahu mengetahui hasilnya.
"Rakyat mahu supaya proses siasatan itu dijalankan. Jangan campur. Yang rakyat nak tahu, apa hasilnya. Kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Kalau bersalah, kita hukum," katanya tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau institusi.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk 'Berani Kerana Benar' di Hotel Grand Blue Wave, Johor Baru hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, dengan pilihan raya umum akan datang sebagai penentu, siasatan yang dijalankan juga tidak seharusnya berlarutan sebegitu lama.
"Kalau keadaan (siasatan) itu tidak berlaku, apa-apa kesalahan biarlah. Sampai masa rakyat akan tahu juga nanti.
"Yang hak akan timbul dan yang batil itu akan tenggelam, lambat laun. Tetapi, jangan lambat-lambat sangat, penentunya pilihan raya nanti," kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Beliau berkata, isu berkaitan 1MDB bukan hanya melibatkan Umno, sebaliknya turut membabitkan semua parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana itulah beliau bersuara.
"Suara saya ini bukan nak menumbangkan sesiapa. Takkan saya nak biarkan. Kalau saya tidak bersuara, siapa nak bersuara?" soalnya.
Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai berkata, beliau sedar realiti pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian yang takut untuk bersuara kerana khuatir dikenakan tindakan, malah sehingga kepada keadaan dipecat.
"Yang dekat sini semua takut... takut kena pecat ketua cawangan, ketua bahagian.
"Realitinya, negara sudah begini keadaannya. Saya seorang sahaja (yang bersuara). Yang lain buat apa?" soalnya, di hadapan sekitar 400 peserta program anjuran akhbar Sinar Harian itu.
Kebanyakan hadirin merupakan ahli dan pemimpin Umno peringkat cawangan dan bahagian dari negeri itu.
"Mungkin ada implikasi kepada diri saya apabila mengatakan ini, tetapi saya sudah bersedia," kata Muhyiddin.
Ketika sesi soal jawab, Muhyiddin turut mendedahkan, terdapat beberapa mesyuarat yang sepatutnya dipengerusikannya selaku timbalan presiden namun digantikan oleh Najib selaku presiden Umno.
"Seolah-olahnya tidak menghormati ahli parti yang pilih saya sebagai timbalan presiden. Seolah-olah lupa pengorbanan yang saya sudah buat.
"Ini tugas, dalam mesyuarat pengurusan parti, ada naib, bendahari, ketua sayap, kita duduk berbincang. Kenapa kedudukan saya terjejas?
"Bagi saya, keadaan parti tidak harus tergugat. Saya tidak lagi berada dalam parti bukan kerana melakukan kesalahan. Saya tidak merogol, tidak meliwat.
"Kalau perdana menteri tak nak dengar tidak mengapa, yang lain-lain ada. Kenapa saya jadi mangsa, sedangkan saya jurubicara ahli Umno?" soal beliau lagi.
"Apa yang saya lakukan sehingga terlucut jawatan saya?" soalnya. – The Malaysian Insider/24 Oktober, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.