Forum Nothing to Hide: Polis Halang Tun Mahathir Bercakap, Matikan Mikrofon
Polis menghentikan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada bercakap di forum tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini.
Polis naik ke atas pentas apabila bekas perdana menteri itu mula bercakap selama 5 minit dan menggesanya untuk berhenti.
Polis kemudiannya mematikan mikrofon dan membawa Dr Mahathir meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Terdahulu, Dr Mahathir kelihatan cuba berunding dengan pegawai polis itu dan memberitahu beliau dijemput dan sepatutnya dibenarkan bercakap.
Tetapi pegawai polis itu mematikan mikrofon dan memadamkan video.
Keadaan menjadi kecoh dan kira-kira 1,000 hadirin mula menjerit memarahi polis dan ada naik ke atas pentas.
Dr Mahathir kemudian mengadakan sidang akhbar sebelum turun dari pentas.
Beliau dibenarkan bercakap kepada pemberita dan selepas sidang media, sepasukan polis membawanya ke keretanya sambil orang ramai menjerit:"Hidup Tun! Hidup Tun! Hidup Tun!".
Keadaan di dalam Dewan Tun Hussein Onn di PWTC pagi ini pada awalnya tegang apabila hadirin berang dan mendesak Najib hadir di majlis itu.
Penganjur Dialog PM Bersama NGO, Suka Guam terlebih dulu mengumumkan program hari ini akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Najib.
Katanya, Najib tidak hadir selepas polis menasihatinya atas faktor keselamatan.
Penganjur juga mengumumkan terdapat satu pergaduhan berlaku di luar dewan dan polis memaklumkan kepada mereka kekecohan akan berlaku dalam program hari ini.
Sebelum itu, SukaGuam memaklumkan pihaknya masih berunding dengan polis untuk membenarkan Najib menghadiri forum berkenaan.
Dr Mahathir tiba di PWTC seawal jam 8.50 pagi tadi untuk menghadiri dialog itu. – The Malaysian Insider/5 Jun, 2015.
P/s: Memalukan.
Berkaitan:
Pasal apa nak takut pada saya, soal Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebab untuk orang ramai takutkan beliau selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hadir ke dialog terus terang "Nothing to Hide" berkaitan 1MDB di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun.
“Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?” katanya dalam sidang media selepas mengambil alih pentas acara itu.- Malaysia Kini/5/6/15
Polis arah forum dihadiri Najib, Dr Mahathir dibatalkan
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar keluar arahan batal dialog Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama NGO pagi ini menerusi akaun Tweeter. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Jun, 2015.
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan arahan supaya majlis dialog bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang 1Malaysia Development Berhad yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad dibatalkan.
Khalid mengeluarkan arahan itu menerusi akaun Twitter @KBAB51, kira-kira sejam sebelum acara bermula pada 10 pagi ini.
“Dialog 1MDB bersama NGO2. Demi ketenteraman awam dan keharmonian masy, @PDRMsia mengarahkan Dialog di atas, di PWTC (Putra World Trade Centre), Kl pagi ini dibatalkan,” tulis Khalid pagi ini.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) SukaGuam memberi peluang kepada Najib menjawab soalan daripada NGO lain dan kumpulan masyarakat sivil, termasuk mengenai 1MDB pada satu forum hari ini.
Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pada sidang akhbar baru-baru ini, Najib mengesahkan kehadirannya pada sesi forum selama 2 jam bertajuk "Nothing to hide," berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pagi ini.
Dr Mahathir muncul di PWTC pagi ini dan Najib dijangka tiba pada 10 pagi.
"Kami mahu dialog ini menjadi platform yang berkesan kerana SukaGuam merupakan NGO berasaskan undang-undang.
Orang ramai di forum bertajuk ‘Nothing to hide’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pagi ini. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarah dialog bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang 1MDB dibatalkan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 Jun, 2015.
"Di mahkamah, terdapat keterangan dikemukakan dan pihak satu lagi selalunya diberi peluang menentang hujah tersebut," kata Khairul minggu lalu.
Katanya, NGO perlu diberi peluang menyoal Najib kerana mereka mempunyai soalan yang sah, supaya bukan hanya ahli politik yang menguasai perbincangan mengenai isu negara.
"Sebelum kita ini lihat isu nasional hanya dibincangkan ahli politik. Kita nampak NGO dikategorikan mengikut keistimewaan dan kepakaran mereka. Mereka boleh bertanya soalan yang lebih jujur dan berwawasan," katanya.
Najib setakat ini melawat ke beberapa negeri – Perak, Johor, Sabah dan tempat kelahirannya di Pekan, Pahang – sebagai sebahagian daripada jelajah seluruh negara beliau bagi menjelaskan kritikan terhadap pentadbiran dan cara beliau mengendalikan 1MDB.
Pengkritik utamanya merupakan ahli Umno sendiri, iaitu Dr Mahathir, yang melakukan serangan tanpa henti dan menggesa peletakan jawatannya kerana dikhuatiri akan merugikan parti.
Kritikan Dr Mahathir kebanyakannya ditujukan kepada 1MDB, syarikat pelaburan milik penuh Kementerian Kewangan, yang mengumpul hutang mencecah RM42 bilion dalam masa 6 tahun beroperasi. – The Malaysian Insider/5 Jun, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.