Samun Sebelum Rogol Kenalan Anak Penghuni
SEGAMAT - Tiga lelaki bukan sahaja memecah masuk sebuah rumah kedai di Batu Anam, di sini, malah bertindak memperkosa seorang gadis yang merupakan kenalan anak pemilik kedai tersebut dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pemilik premis menjual barangan lusuh berusia 55 tahun itu hanya menyedari kejadian tersebut selepas mendengar bunyi bising dari sebuah bilik di tingkat atas kedainya.
“Dia (pemilik) kemudian memeriksa bunyi bising tersebut sebelum terkejut apabila mendapati tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang sedang mengetuk pintu bilik anak lelakinya dan sebuah lagi bilik yang dihuni gadis malang tersebut.
“Suspek yang menyedari kehadiran pemilik kedai tersebut kemudian mengarahkannya memanggil keluar kesemua penghuni bilik tersebut sebelum mengikat ketiga-tiga mangsa dengan menggunakan wayar,” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dikumpulkan di suatu sudut di tingkat atas rumah kedai tersebut sebelum suspek menggeledah kesemua bilik di dalam kedai tersebut.
Katanya, seorang suspek kemudian turun ke tingkat bawah kedai tersebut sebelum memandu sebuah ‘fork lift’ bagi mengangkut barangan lusuh yang terdapat di kedai tersebut untuk dimasukkan ke dalam sebuah lori dinaiki mereka.
“Secara tiba-tiba, seorang suspek yang mengawasi kesemua mangsa menarik gadis tersebut ke dalam sebuah bilik sebelum merogolnya.
“Rakan suspek yang naik ke tingkat atas kemudian terkejut apabila melihat rakannya sedang merogol gadis tersebut sebelum mengarahkan kesemua mereka beredar kerana bimbang kegiatan mereka dihidu pihak polis,” katanya.
Menurutnya, pemilik kedai tersebut bersama anaknya yang berjaya melepaskan ikatan mereka segera menghubungi pihak polis dan mendapati mangsa rogol berkenaan berada di dalam keadaan trauma.
Katanya, pemilik kedai berkenaan yang melakukan pemeriksaan mendapati wang tunai sebanyak RM1,500, seutas rantai emas, lima cincin emas, enam telefon bimbit pelbagai jenama dan barangan lusuh di kedainya berjaya dilarikan suspek dan belum menganggarkan nilai sebenar kerugian dialami.
“Premis berkenaan tidak mempunyai kamera kamera litar tertutup (CCTV) dan kami telah mengarahkan gadis berkenaan menjalani pemeriksaan di Hospital Daerah Segamat (HDS).
“Usaha mengesan kesemua suspek juga sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 397/395 kerana rogol dan samun berkumpulan menggunakan senjata tajam,” katanya. -Sinar Harian Online/1/6/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.