Hadi Kena Main dengan Umno Isu Hudud - Kit Siang
DAP berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dipermainkan Umno apabila usahanya membawa rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen tidak mendapat sokongan parti Melayu itu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sama ada Umno tidak mempunyai niat atau kebolehan bagi menunjukkan sokongan di peringkat Parlimen, 48 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak tidak akan digunakan untuk tujuan itu.
"Kemunculan rang undang-undang persendirian melaksanakan hudud dalam aturan mesyuarat Parlimen dua hari lalu menunjukkan Hadi diberi ganjaran kerana menukar arah politik di mana Umno sangat dihormati manakala DAP disetankan dengan bahasa kasar di muktamar.
"48 ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak bukan saja mengundang risiko kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri tetapi survival perpaduan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini berkata Putrajaya enggan menyatakan pendirian mereka tentang pelaksanaan hudud di Kelantan selepas Rang Undang-undang Persendirian itu muncul dalam aturan mesyuarat.
"Itu bukan pendirian kerajaan. Jerai akan memberikan jawapan tentang pendirian kami," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Shahidan menjawab soalan Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyimpulkan Putrajaya tidak mahu menyokong undang-undang jenayah Islam selepas mendapatkan penjelasan daripada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengapa usul itu hanya muncul dalam Kertas Arahan semalam walaupun sudah dihantar beberapa minggu lalu.
Lim berkata walaupun Pakatan Rakyat (PR) sudah berakhir, DAP akan meneruskan kerjasama dengan parti politik yang mempunyai prinsip merealisasikan "impian Malaysia".
Katanya, tiada apa yang perlu disedihkan dengan ketiadaan PR kerana impian Malaysia seperti perpaduan, keadilan dan maruah perlu direalisasikan.
"Kami di DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin PAS yang melanggar Dasar Bersama PR.
"Tetapi kami bersedia bekerja dengan entiti politik dan rakyat yang komited kepada dasar Dasar Bersama termasuk ahli PAS di pelbagai peringkat yang tidak menolak atau meninggalkan Dasar Bersama PR," katanya. – The Malaysian Insider/ 18 Jun, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.