Kenyataan Media PKR: Pakatan Rakyat Sudah Tidak Berfungsi Secara Formal
KENYATAAN MEDIA
Pakatan Rakyat ditubuhkan pasca Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 atas initiatif Sdr Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama dengan membawa tiga parti pembangkang terbesar dalam negara sebagai bergabung menentang Barisan Nasional.
KEADILAN yakin bahawa sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (KEADILAN, DAP dan PAS) selama ini dipacu oleh arus rakyat yang benar-benar dahagakan perubahan. Satu harapan yang besar digalaskan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional.
Harapan rakyat itu berpaksikan kepada prinsip-prinsip bersama yang dipersetujui dan diperjuangkan bersama oleh Pakatan Rakyat selama ini seperti yang dimeterai di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, termasuklah:
1. Keterangkuman semua kaum, kumpulan dan setiap rakyat dalam membina Persekutuan Malaysia yang adil dan sejahtera;
2. Mempertahankan kedudukan agama Islam, kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra, institusi raja-raja dan bahasa Melayu mengikut peruntukan Perlembagaan dengan menjamin hak kaum dan agama lain;
3. Menyuburkan sebuah negara bertatakelola baik dan berlandaskan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang;
4. Mensejahterakan ekonomi negara yang berkepedulian rakyat, berdaya saing dengan membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
KEADILAN sangat menghargai permuafakatan yang digembleng bersama dengan PAS dan DAP sebelum ini dan dukungan padu rakyat yang melonjakkan Pakatan Rakyat sehingga mendapat sokongan 52% pengundi dalam PRU13.
Mengambil kira perkembangan terkini Biro Politik KEADILAN yang bermesyuarat pada 16 Jun 2015 telah memutuskan:
1. Menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan penamatan riwayat Pakatan Rakyat yang kami anggap tindakan tergesa-gesa. Ekoran dari itu, gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal;
2. Namun, kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semangat dan permuafakatan Pakatan Rakyat di Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Sdr Azmin Ali, dan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng terus kekal. Dan dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, KEADILAN akan terus memberikan sokongan kepada Dato’ Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob;
3. KEADILAN akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional.
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
17 Jun 2015
P/s: Selepas 7 tahun sama-sama berjuang, PKR seharusnya tahu pihak yang layak digelar kawan, lawan.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.